Langkah Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) bagi kesalahan membuang sampah kecil kini mula menarik perhatian penduduk Kuching.
Ia bukan sekadar bertujuan menghukum, sebaliknya memberi peluang kepada individu untuk merasai sendiri kesan tindakan mereka terhadap persekitaran, sekali gus menekankan tanggungjawab sivik serta membentuk kesedaran jangka panjang.
Perkara ini selari dengan pindaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang membenarkan mahkamah menjatuhkan hukuman PKM sehingga 12 jam serta denda sehingga RM2,000 bagi kesalahan membuang sampah di tempat awam.
Pindaan tersebut diluluskan di Dewan Rakyat dan dikuatkuasakan mulai 1 Januari lalu di beberapa negeri terawal. Berdasarkan tinjauan Suara Sarawak di sekitar Kuching, semakin ramai penduduk mula berbual mengenai pelaksanaan PKM.
Ada yang melihatnya sebagai pendekatan berkesan untuk mendidik masyarakat, namun ada juga yang tertanya-tanya sejauh mana pengalaman khidmat masyarakat mampu mengubah tingkah laku pesalah.
Bagi sesetengah individu, idea membersihkan sampah yang dibuang sendiri kelihatan ‘memalukan’ pada peringkat awal, namun ramai yang mengakui pengalaman tersebut membuka mata mereka terhadap impak perbuatan kecil terhadap komuniti.
Bagi pekerja swasta, Nur Syafiqah, 31, beliau berpendapat PKM merupakan langkah yang baik untuk meningkatkan nilai murni dalam kalangan masyarakat serta memupuk kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan merentas semua golongan
. “Bagi saya, PKM lebih berkesan dalam mendidik masyarakat mengenai penjagaan kebersihan.
Jika hanya dikenakan denda semata-mata, masyarakat mungkin tidak memandang serius soal kebersihan kerana mereka hanya perlu membayar denda dan perkara itu dianggap selesai.
“Namun, apabila PKM dilaksanakan, bukan sahaja masyarakat tempatan dapat meningkatkan kesedaran terhadap kebersihan, malah pelancong dan pekerja asing turut dapat melihat usaha ini, sekali gus menjadikannya satu pendekatan yang menarik dan berkesan untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pekerja swasta, Hamidah Ibrahim, 34, berkata sikap membuang sampah secara sembarangan sering berlaku seolah-olah tanpa memikirkan akibatnya.
“Namun, apabila dikenakan PKM, barulah timbul kesedaran bahawa setiap tindakan, walaupun kecil, mempunyai kesan.
“Melalui perintah ini, saya sendiri akan lebih berhemah dalam membuang sampah dan lebih menitikberatkan kebersihan kawasan sekeliling.
“Selain itu, pelancong dan pekerja asing yang berada di sini juga berpeluang menyaksikan usaha masyarakat tempatan dalam menghargai kebersihan, yang dilihat sebagai satu aspek positif,” jelasnya.
Manakala bagi guru, Sabariah Anggas, 53, beliau melihat PKM sebagai satu inisiatif yang sangat bermanfaat kerana ia bukan sekadar bertujuan menghukum, malah turut mendidik nilai disiplin dan tanggungjawab sejak awal.
“Kita sering bercakap tentang kebersihan di bilik darjah, namun jika murid hanya mendengar teori, sukar bagi mereka untuk menjiwai nilai tersebut.
Apabila mereka menyaksikan pelaksanaan sebenar dalam masyarakat, kesannya lebih mendalam.
“Saya percaya apabila murid melihat orang dewasa mematuhi peraturan dan memikul tanggungjawab, mereka mula mencontohi tingkah laku tersebut.
“PKM bukan sekadar mengajar mereka menjaga kebersihan diri, malah mendidik mereka menghormati ruang orang lain serta memahami setiap tindakan kecil memberi impak kepada komuniti,” ujarnya.
Di samping itu, bagi peniaga, Rintan Julaihi, 43, beliau melihat pelaksanaan PKM sebagai langkah yang sangat membantu kerana meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa kebersihan mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan, termasuk sektor perniagaan.
“Apabila kawasan sekitar kedai bersih, pelanggan berasa lebih selesa dan suasana menjadi lebih menyenangkan.
Secara tidak langsung, keadaan ini memberi nilai positif kepada komuniti.
“Jika hanya dikenakan denda, ramai yang tidak mengambil serius kerana menganggap pembayaran denda sahaja sudah memadai.
Namun, PKM menyedarkan orang ramai tentang tanggungjawab mereka sendiri, sekali gus memberi kesan yang lebih mendalam.
“Saya sendiri berasa lebih bertanggungjawab untuk memastikan kawasan kedai dan sekitarnya sentiasa bersih, bukan sahaja demi kepentingan perniagaan, tetapi juga untuk kesejahteraan masyarakat yang menggunakan ruang awam,” jelasnya.
Namun begitu, bagi penuntut Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), Nur Najwa Nadhirah, 23, berkata sebagai pelajar, PKM merupakan satu pendekatan yang menarik untuk mempelajari tanggungjawab sivik.
“Kadangkala kita beranggapan membuang sampah kecil seperti plastik atau kertas tidak memberi kesan, namun melalui PKM, kita mula menyedari setiap tindakan memberi impak kepada orang lain serta alam sekitar.
“PKM bukan sekadar hukuman, sebaliknya satu pengalaman pembelajaran yang menjadikan kita lebih prihatin terhadap kebersihan persekitaran.
Saya sendiri memastikan sampah dibuang ke dalam tong sampah serta mengambil inisiatif untuk mengutip sampah di kawasan sekitar.
“Ia memberi kesedaran setiap individu memainkan peranan penting dalam menjaga kebersihan bandar dan komuniti. Malah, sangat memuaskan apabila mengetahui tindakan kecil mampu memberi impak yang besar,” katanya.
Selain itu, seorang lagi penuntut IPTA, Muhammad Ezuwan Abdul Khalid, 23, menyatakan PKM juga penting kerana program tersebut menunjukkan menjaga kebersihan bukan sahaja menjadi tanggungjawab penduduk tempatan, malah turut memberi contoh kepada pelancong dan pekerja asing yang berkunjung ke bandar raya ini.
“Mereka dapat melihat budaya masyarakat kita yang menghargai ruang awam, sekali gus memberi imej positif kepada Kuching.
Saya berharap lebih ramai akan mengikut langkah ini kerana ia bukan sekadar hukuman, tetapi satu cara untuk mendidik serta menanam kesedaran sivik.
“Saya sendiri berusaha menjadi contoh dengan menjaga kebersihan setiap kali berada di rumah, kampus atau kawasan awam lain.
Perkara ini membuatkan saya berasa bangga dengan bandar sendiri dan menyedari setiap tindakan kecil memberi makna kepada komuniti,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, pelaksanaan PKM turut disertai penguatkuasaan berfokus oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta pihak berkuasa tempatan.
Dalam usaha meningkatkan keberkesanan program, SWCorp memperoleh 100 motosikal khas dan melatih kira-kira 300 penguat kuasa bagi tujuan pemantauan dan pelaksanaan PKM.
Antara tugasan yang dilaksanakan termasuk menyapu jalan, mencuci longkang serta mencantas pokok di kawasan awam.
Langkah pelaksanaan PKM ini jelas menunjukkan usaha menjaga kebersihan bukan semata-mata tanggungjawab individu, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama-sama dalam membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan peka terhadap persekitaran.
Pandangan daripada guru, peniaga dan pelajar membuktikan setiap tindakan kecil mampu membawa impak yang besar dan kesedaran ini diharap dapat terus dipupuk di Kuching serta di seluruh negara.



