KUCHING: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin menjadi rujukan Kerajaan Negeri Perak dalam merancang pembangunan ICQS baharu di Pengkalan Hulu yang bersempadan dengan Thailand.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, lawatan ke ICQS Serikin hari ini memberi peluang kepada pihaknya meninjau konsep serta pendekatan pembangunan kemudahan sempadan yang boleh dijadikan panduan bagi projek di Pengkalan Hulu.
“Kita lihat ada persamaan dengan projek ICQS yang akan dibina di Perak, iaitu di Pengkalan Hulu, Hulu Perak yang bersempadan dengan Thailand.

“Keadaannya lebih kurang sama, dengan bukit, tanah merah dan kawasan pedalaman,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan ke tapak pembinaan ICQS Serikin, hari ini.
Menurutnya, keadaan fizikal di Serikin mempunyai persamaan dengan kawasan Pengkalan Hulu yang bersempadan dengan Betong, Thailand, sekali gus menjadikan ICQS Serikin sebagai rujukan sesuai.
Rombongan JKKN Perak turut mengadakan lawatan ke Pos Lintas Batas Negara (PLBN) Jagoi Babang, Indonesia, bagi meninjau operasi serta pengurusan kemudahan sempadan di negara berkenaan.

Lawatan itu diiringi Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep.
Saarani berkata, lawatan berkenaan penting bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai pembangunan dan pengurusan kemudahan sempadan.
“Kita memang nak lihat kerana kita nak berunding dengan Kementerian Dalam Negeri tentang kadar harga dan juga bagaimana kita nak bangunkan kawasan itu.
“Pembangunan ICQS Pengkalan Hulu kelak bukan hanya memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dan kawalan sempadan, malah turut mengambil kira potensi kawasan tersebut untuk pelancongan,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman dan maklumat diperoleh menerusi lawatan ke ICQS Serikin diharap dapat membantu pihaknya merancang pembangunan kemudahan sempadan di Pengkalan Hulu dengan lebih berkesan.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada program empat hari rombongan JKKN Perak di Sarawak.
Sebelum tiba di Kuching, rombongan berkenaan terlebih dahulu mengadakan lawatan ke ICQS Sungai Tujoh, Miri dan menerima taklimat daripada Pengarah Imigresen Negeri Sarawak.
Saarani berkata, maklumat diperoleh sepanjang lawatan akan dibawa ke mesyuarat JKKN Perak yang dijadualkan berlangsung di Kuching esok, sebelum rombongan berkenaan berlepas pulang pada Selasa.






