KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu hasil perbincangan pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS26) diterjemahkan kepada projek, pelaburan dan peluang ekonomi yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, kejayaan IDECS tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peserta atau perbincangan yang berlangsung, sebaliknya melalui hasil yang dapat direalisasikan selepas persidangan berakhir.
Katanya, perbincangan membawa kepada pelaburan, kerjasama yang berkembang menjadi projek serta idea menemukan pihak yang tepat untuk direalisasikan perlu menjadi hasil utama IDECS.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala IDECS26 yang diserikan dengan kehadiran Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Hotel VOCO, di sini, malam tadi.
Menurut Julaihi lagi, Sarawak kini tidak lagi hanya memberi tumpuan kepada penerimagunaan teknologi, sebaliknya mahu teknologi digunakan bagi mencipta nilai ekonomi, menyelesaikan masalah sebenar dan meningkatkan peluang untuk rakyat.
Tegas beliau, pendekatan itu semakin penting apabila Sarawak meneroka bidang baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), inovasi semikonduktor, bandar masa depan, bakat digital dan ekonomi angkasa.
Tambahnya, tema IDECS26, “Scaling Innovation Ecosystems for a Borderless Economy: Earth, Orbit & Beyond”, mencerminkan hasrat Sarawak untuk memperluas ekosistem inovasi serta membina lebih banyak kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau memberitahu pembangunan ekonomi digital Sarawak telah menunjukkan perkembangan positif apabila liputan Internet mencapai 94.5 peratus penempatan di seluruh negeri menjelang akhir 2025.


