IDGITAF mungkin dikenali kerana penampilannya yang comel dan suaranya yang tersendiri, namun di sebalik persona itu tersimpan karya-karya yang jujur dalam mengungkap pelbagai sisi kehidupan anak muda.
Nama sebenarnya Brigitta Sriulina Beru Meliala. Penyanyi dan penulis lagu dari Indonesia itu kembali membuka lembaran baharu dalam perjalanan muziknya menerusi album studio kedua, Berusaha di Bawah Hujan, yang dilancarkan pada 15 Mei lalu.
Lebih peribadi, hangat dan sarat dengan cerita tentang cinta serta kehidupan, album ini menghimpunkan 12 lagu yang membawa pendengar menyusuri pelbagai sisi emosi yang dekat dengan pengalaman manusia.
Daripada menemukan cinta yang membawa ketenangan, menikmati kebahagiaan dan berdepan dengan keraguan hinggalah belajar untuk terus bertahan ketika menghadapi dugaan, semuanya dirangkum Idgitaf menerusi karya yang begitu dekat dengan perjalanan hidupnya.
Masih mengekalkan warna muzik pop yang menjadi identitinya, Berusaha di Bawah Hujan turut dihiasi sentuhan muzik country yang manis menerusi beberapa lagu. Elemen ini memberikan kelainan kepada bunyi keseluruhan album tanpa menghilangkan kekuatan Idgitaf dalam menyampaikan cerita menerusi lirik.

Antara karya yang dimuatkan ialah Setengah Langit, hasil kerjasama dengan Dere yang membawa nuansa mendalam dan menyentuh perasaan.
Album itu turut menampilkan Masih Ada Cahaya bersama Hindia, Tenang Saja (Ini Hanya Fase), Sedia Aku Sebelum Hujan, Mungkin di Depan Buram serta Rutinitas yang dilancarkan Idgitaf pada awal tahun.
Bagi Idgitaf, album berkenaan bukan sekadar himpunan lagu baharu, sebaliknya menjadi ruang untuknya merakam pelbagai perasaan yang hadir sepanjang perjalanan hidup.
“Album ini menjadi ruang untuk saya merakam pelbagai perasaan yang hadir sepanjang perjalanan hidup, daripada cinta dan kebahagiaan kepada keraguan.
“Selain itu, ada juga ketakutan terhadap kehilangan dan usaha untuk terus melangkah apabila keadaan tidak seperti yang diharapkan,” kongsinya.
Salah satu sisi peribadi itu dapat dirasakan menerusi Rutinitas, lagu yang mengetengahkan pengalaman Idgitaf ketika terlalu banyak berfikir walaupun kehidupannya sebenarnya berada dalam keadaan baik.
“Saya ingin membawa pendengar menyelami pengalaman saya yang terlalu banyak berfikir ketika kehidupan sebenarnya berada dalam keadaan baik.
“Justeru, lagu itu lahir kerana saya dikelilingi insan yang baik, khususnya pasangan yang saya sayangi.
“Tetapi seperti manusia lain, ada rasa bimbang tentang kemungkinan kehilangan dan bagaimana kehidupan akan berubah sekiranya hubungan yang penuh kenangan itu berakhir,” tambahnya.

Keresahan itu kemudiannya membuatkan Idgitaf memikirkan perkara-perkara kecil yang selama ini menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka bersama.
“Contohnya, ada banyak tempat yang kami ingati kerana menyimpan kenangan bersama.
“Jadi, saya mula tertanya-tanya, jika suatu hari kami berpisah, adakah saya masih akan kembali ke tempat-tempat itu dan merasakan perkara sama?
“Atau adakah saya akan mengelakkan diri daripada pergi ke tempat-tempat yang menyimpan kenangan kami bersama?” katanya.
Berkongsi lebih lanjut, beliau berkata kebimbangan itu turut melibatkan kehidupan selepas kehilangan seseorang yang selama ini menjadi sebahagian daripada rutin hariannya.
“Ada rasa bimbang dan bingung, adakah ini bermaksud saya akan mempunyai rutin baharu?” ujarnya.
Walaupun kedengaran sederhana, keresahan itu memperlihatkan satu sisi cinta yang jarang dibicarakan, iaitu rasa takut kehilangan sesuatu yang sedang membahagiakan seseorang.
Namun, jika Rutinitas mengetengahkan kebimbangan terhadap kemungkinan kehilangan, Sedia Aku Sebelum Hujan pula membawa sisi berbeza dalam perjalanan muzik Idgitaf.
Dilancarkan pada 8 Oktober tahun lalu, lagu itu menjadi antara karya yang mengiringi langkahnya menuju album studio kedua selepas kira-kira dua tahun tanpa mengeluarkan karya baharu.

Menariknya, lagu berkenaan bukan lahir daripada kisah kekecewaan dalam percintaan. Sebaliknya, lagu itu dihasilkan ketika Idgitaf berada dalam hubungan yang sihat dan menerima sokongan daripada pasangannya.
Dalam lagu berkenaan, hujan digunakan sebagai lambang kepada masa-masa sukar dalam kehidupan, manakala kesediaan sebelum hujan menggambarkan keinginan untuk hadir dan memberikan rasa selamat kepada seseorang sebelum dugaan benar-benar tiba.
Bagi Idgitaf, cinta bukan sekadar tentang pengorbanan daripada satu pihak sahaja.
Daripada Sedia Aku Sebelum Hujan hingga Rutinitas, perjalanan Idgitaf memperlihatkan bagaimana cinta boleh hadir dalam pelbagai bentuk.
Ada kalanya cinta membawa ketenangan, ada waktunya menimbulkan keraguan dan ada juga ketika seseorang berasa takut akan kehilangan.
Kesemua rasa itu kemudiannya dirangkum dalam Berusaha di Bawah Hujan.
Dengan 12 lagu yang mengangkat tema cinta, kebahagiaan, keraguan dan kehidupan, album itu terasa seperti catatan peribadi Idgitaf yang diterjemahkan menerusi muzik.
Kerjasamanya dengan Hindia menerusi Masih Ada Cahaya dan Dere menerusi Setengah Langit turut menambahkan warna kepada album berkenaan, sekali gus memperluas ruang cerita yang ingin disampaikan.
Pada akhirnya, Berusaha di Bawah Hujan bukan sekadar kisah tentang mencari kebahagiaan.
Sebaliknya, album itu menjadi gambaran tentang bagaimana seseorang belajar menerima pelbagai rasa yang hadir dalam kehidupan, termasuk cinta, kebahagiaan, keraguan dan ketakutan terhadap kehilangan.
Seperti yang cuba disampaikan Idgitaf menerusi album keduanya, ada waktunya kita hanya mampu terus berusaha walaupun hujan masih turun.




