KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Datuk Idris Buang akur dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung isu mengenai senator dan Ahli Parlimen yang sudah bersara tidak mempunyai hak untuk menikmati kenaikan pencen apabila semakan gaji dilakukan.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak itu berkata demikian ketika memberi respons berhubung keputusan yang telah diputuskan pada 7 April lalu.
Sebelum ini, beliau mengetuai bekas-bekas senator untuk memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa mereka berhak untuk pengiraan semula pencen yang disemak semula, berkuat kuasa pada 1 Januari 2015.
Mereka menamakan ketua pentadbir Parlimen dan kerajaan sebagai responden dalam saman yang difailkan pada 15 Ogos 2019.
Permohonan tersebut pada asalnya ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2020, namun kemudian dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan. Bagaimanapun, keputusan yang dibuat itu akhirnya tidak memihak kepada mereka.
Menjelas mengenai perkara tersebut, Idris menegaskan bahawa beliau akur dan menghormati keputusan berkenaan tetapi tidak menafikan bahawa beliau berasa sedih kerana tuntutan ini bukan hanya untuk kepentingan peribadi, tetapi juga bagi senator serta Ahli Parlimen yang sudah bersara.
Katanya, kebanyakan daripada mereka juga sudah berusia dan ada yang sakit serta uzur, sekali gus tidak terlepas daripada kesusahan yang dihadapi oleh masyarakat lain.
“Memang benar senator dan Ahli Parlimen bukan penjawat awam seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak mempunyai perlindungan hak pencen di bawah Perkara 147. Namun, mereka ini juga pernah berkhidmat dan berkorban untuk memberikan sepenuhnya komitmen dan dedikasi kepada rakyat, sama ada di negeri atau negara,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Ekoran itu, tambahnya, senator dan Ahli Parlimen yang sudah bersara tersebut turut terdedah kepada tekanan ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi.
“Disebabkan itu, kami memperjuangkan tuntutan ini kerana ingin membantu senator dan Ahli Parlimen yang sudah bersara.
“Meskipun saya belum membaca sepenuhnya huraian Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan itu, tetapi saya berasa mereka tidak mengambil kira secara ‘equitable’ pengorbanan yang pernah dilakukan untuk rakyat dan negara,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, beliau menyeru pihak berkenaan untuk menyemak semua perkara ini dengan penuh adil dan saksama, khususnya melibatkan Ahli Politik yang bertugas sebagai Ahli Parlimen dan senator selepas bersara.
“Mereka juga sepatutnya turut diberi penyelarasan pencen jika ada kenaikan gaji bagi penjawat awam dan Ahli Parlimen yang sedang berkhidmat,” tegasnya.


