TAHNIAH Dr Abang Patdeli Abang Muhi, Sasterawan Sarawak keenam. Penantian untuk melihat seorang lagi penulis Sarawak bergelar Sasterawan Sarawak berakhir.
Dengan pengumuman itu, maka, bermula lagi penantian dunia sastera Sarawak untuk melihat siapa yang bakal diangkat sebagai Sasterawan Sarawak yang ketujuh.
Lima tahun menunggu nama Sasterawan Sarawak keenam diumum pada 14 Oktober lalu, selepas empat tahun menunggu, setelah Zainal Abidin Suhaili (Abizai Abi) diumum sebagai Sasterawan Sarawak kelima.
Sebelum itu, perlu menunggu 10 tahun sebelum Abizai diangkat sebagai Sasterawan Sarawak selepas Jong Chian Lai pada 2014.
Sebelum Jong, Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah bergelar Sasterawan Sarawak ketiga pada 2009. Sasterawan Sarawak pertama ialah Allahyarham Muhammad Bujang pada 1994 dan setahun kemudian, Muhammad Rakawi Yusuf diangkat sebagai Sasterawan Sarawak pada 1995.
Beberapa tahun lalu, saya ada mendengar khabar yang nama Dr Abang Patdeli boleh diangkat sebagai Sasterawan Sarawak seterusnya.
Begitu juga beberapa nama penulis lain yang saya fikir boleh juga dinilai untuk dikurniakan Anugerah Sastera Sarawak dengan gelaran Sasterawan Sarawak.
Berpandukan naluri wartawan ketika menghidu sesuatu yang baharu (berita), saya cuba memerhatikan pergerakan namanama penulis hebat Sarawak yang disebut-sebut sebagai penerima anugerah ini.
Kadang-kadang semacam nampak ada usaha untuk mengangkat nama seseorang untuk anugerah ini.
Namun demikian, ia perlu disertakan dengan kecemerlangan dalam dunia perbukuan, kesusasteraan, kebahasaan dan kebudayaan
Paling utama juga keterlibatan serius dalam berpersatuan.
Paling mudah untuk difahami, kehadirannya dalam khalayak ramai mesti kelihatan, terutama dalam aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan.
Seperti juga ketika membuat pemilihan wakil rakyat yang akan bergelar YB.
Mana mungkin seseorang yang jarang-jarang bersua muka dengan masyarakat akar umbi akan dipilih sebagai calon dalam pilihan raya negeri atau negara.
Mestilah orang yang ada pengetahuan serta kredibiliti dalam bidang kepakarannya dipilih.
Walaupun berpelajaran tinggi, tetapi enggan bergaul dengan masyarakat, pasti akan ditolak awal oleh parti politik yang bertandin
Bual kosong Ketika duduk berbual-bual kosong sambil menghirup sup mi kolok, perbualan saya dengan seorang otai sastera juga berkisar tentang nama bakal Sasterawan Sarawak keenam.
“Kitak rasa, sapa layak diangkat sebagai Sasterawan Sarawak seterusnya?” soal saya kepadanya.
“Banyak nama sudah boleh diangkat sebagai Sasterawan Sarawak sebenarnya.
Ada yang sudah cukup layak untuk diberikan gelaran itu,” jelasnya kepada saya
. Apa-apa pun, otai sastera ini tidak mahu menyebut nama penulis Sarawak yang berpotensi diangkat sebagai penerima gelaran tersebut.
Beliau hanya memberi sedikit bayangan untuk saya cari.
Banyak meninggalkan soalan untuk saya jawab sendiri.
Saya juga bertanya kepada orang lama sastera di Kuala Lumpur.
Saya fikir beliau orang yang tepat tempat saya bertanya, sebab beliau banyak memerhati perkembangan kesusasteraan di Sarawak.
Kebetulan kami sama-sama menyertai satu program kebudayaan dan kebahasaan di Kuching. Saya sempat menemu bual beliau untuk mencari jawapan yang sangatsangat saya cari.
“Boleh komen sedikit tentang Sasterawan Negara? Ada penulis Sarawak boleh diberi anugerah itu?” soal say
Saya sengaja bertanya tentang Sasterawan Negara sebelum bertanya lebih lanjut mengenai calon untuk Sasterawan Sarawak keenam.
Dengan nada lemah lembut, beliau memberitahu, Sarawak sebenarnya sudah mempunyai nama yang layak untuk dicalonkan sebagai Sasterawan Negara.
Bukan setakat nama tiga Sasterawan Sarawak sedia ada ketika itu — Dr Adi Badiozaman Tuah, Jong Chian Lai dan Abizai Abi, malah nama penulis yang belum bergelar Sasterawan Sarawak juga layak untuk dicalonkan.
Pencalonan Jelasnya, “Yang penting ada pencalonan.
Kalau tidak ada orang yang mengemukakan pencalonan, bagaimana orang nak menilai?”
Timbul persoalan, ada atau tidak nama penulis Sarawak dicalonkan sebagai Sasterawan Negara?
Juga tidak memberikan sebarang bayangan khusus, namun semacam dapat diagak nama-nama yang ada di dalam fikiran beliau.
Malah dalam pemerhatiannya, Sarawak pasti akan menerima seorang Sasterawan Sarawak yang baharu dalam masa terdekat.
Saya sebut beberapa nama penulis kepadanya. Beliau tidak menolak atau mengiakan nama tersebut.
Namun beliau memaklumkan, calon yang hendak dikemukakan mestilah seorang yang aktif dalam semua hal kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan.
“Walaupun banyak menghasilkan karya termasuk buku, kalau tidak hadir dalam banyak program kesusateraan… markah akan kurang.
Penyertaan juga bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi juga bersifat kebangsaan.
Berpersatuan itu juga satu kelebihan,” jelasnya kepada saya. Banyak negeri sudah mempunyai penulis bergelar Sasterawan Negara. Sarawak belum lagi.
Sekarang kita sudah ada empat Sasterawan Sarawak yang masih hidup. Jadi, keempatempat nama ini saya fikir sudah layak untuk dikemukakan sebagai calon Sasterawan Negara.
Terpulang kepada komuniti penulis Sarawak, terutama persatuan penulis untuk mengemukakan nama yang mereka fikir sesuai dicalonkan.
Gerak kerja perlu pantas dan segera mungkin. Bermakna akan ada kerja rumah yang panjang untuk persatuan penulis. Jangan pula nanti Sasterawan Sarawak sendiri yang perlu mengemukakan nama mereka sendiri sebagai calon Sasterawan Negara. Nanti dikata masuk bakul, angkat sendiri pula
. Saya fikir, usaha ini boleh dijadikan keutamaan oleh manamana persatuan penulis sebagai misi dan visi untuk mengangkat seorang penulis Sarawak sebagai Sasterawan Negara pertama dari Bumi Kenyalang. Seperti kata otai sastera dari Kuala Lumpur tadi, “Penulis Sarawak juga ada peluang bergelar Sasterawan Negara.
Karya-karya penulis Sarawak sudah cukup hebat dan semakin dikenali di arena kebangsaan. Mungkin perlu diadakan program khas untuk membicarakan Sasterawan Negara dari Sarawak selepas ini”.



