“Kamek sik sabar tunggu Jambatan Igan tok siap.” Itulah ungkapan yang se-ring diluahkan bekas wartawan Utusan Borneo, Allahyarham Mohamad Achil Norrlatep setiap kali membuat liputan di daerah Matu dan Daro.
Bagi mereka yang pernah bekerja rapat dengannya, ayat ringkas itu bukan sekadar gurauan atau luahan biasa, sebaliknya menggambarkan keterujaan seorang anak Sarawak yang benar-benar memahami keperluan masyarakat di kawasan pesisir.
Allahyarham sering menyatakan harapan untuk melihat sendiri Jambatan Batang Igan siap sepenuhnya dan dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat.
Sebagai wartawan yang telah lama turun padang di kawasan tengah Sarawak, beliau amat memahami cabaran perjalanan yang terpaksa ditempuh penduduk setiap hari.
Perjalanan dari Igan ke Matu dan Daro bukan sesuatu yang asing bagi Allahyarham.
Beliau berkali-kali melalui laluan yang sama, menunggu perkhidmatan feri, berdepan dengan cuaca tidak menentu dan menyaksikan sendiri kesukaran yang dialami penduduk.
Sebab itu, setiap kali isu pembangunan dibincangkan, Jambatan Batang Igan sentiasa menjadi antara topik yang dekat di hatinya.
Baginya, pembinaan jambatan tersebut bukan sekadar projek infrastruktur, sebaliknya simbol perubahan besar kepada masyarakat luar bandar.
Jambatan itu diyakini mampu memendekkan masa perjalanan selain meningkatkan hubungan ekonomi antara kawasan sekitar.
Tidak hairanlah setiap kali bertugas di Matu atau Daro, Allahyarham pasti mengulangi kata-kata yang sama dengan nada penuh harapan.
“Kamek sik sabar tunggu Jambatan Igan tok siap.”
Ungkapan itu kini kekal sebagai memori yang sukar dilupakan.
Lebih memilukan, Allahyarham meninggal dunia tidak sampai 24 jam sebelum Majlis Prapelancaran Jambatan Batang Igan berlangsung pada 16 Mac lalu.
Pemergiannya pada saat masyarakat sedang menantikan detik bersejarah itu memberikan kesan mendalam kepada rakan media serta mereka yang mengenalinya.
Seolah-olah beliau terlalu hampir untuk menyaksikan sendiri impian yang sering diungkapkan itu menjadi kenyataan, namun takdir menentukan sebaliknya.
Allahyarham bukan sekadar rakan sekerja, malah dianggap seperti abang sepanjang saya bekerja dengannya.
Walaupun tempoh bekerjasama hanya sekitar setahun ketika saya memulakan kerjaya sebagai wartawan di Mukah, Allahyarham meninggalkan kesan yang cukup besar.
Beliau antara individu terawal yang banyak membantu ketika saya masih menyesuaikan diri dalam dunia kewartawanan lapangan.
Pengalaman pertama bertugas di kawasan baharu pastinya hadir bersama cabaran tersendiri.
Namun, kehadiran Allahyarham banyak memudahkan urusan saya.
Beliau tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman sepanjang bergelar wartawan.
Daripada selok-belok liputan, cara mendekati sumber berita hinggalah memahami budaya masyarakat setempat, semuanya dikongsikan dengan penuh ikhlas.
Malah, Allahyarham juga memainkan peranan penting memperkenalkan saya kepada banyak pihak di Mukah dan kawasan sekitarnya, sekali gus memudahkan urusan temu bual dan sebagainya.
Sikapnya yang mudah mesra menjadikan beliau disenangi ramai.
Tidak kira pegawai kerajaan, pemimpin masyarakat mahupun penduduk kampung, kebanyakannya mengenalinya dengan baik.
Beliau tahu bagaimana membina hubungan yang baik tanpa mengabaikan profesionalisme sebagai wartawan.
Dalam dunia media yang menuntut komitmen tinggi, Allahyarham sentiasa menunjukkan dedikasi luar biasa.
Beliau sanggup meredah perjalanan jauh demi memastikan sesuatu berita sampai kepada pembaca.
Semangatnya dalam menjalankan tugas sering menjadi inspirasi kepada wartawan yang lebih muda.
Walaupun berpengalaman luas, beliau tidak pernah bersikap meninggi diri.
Sebaliknya, Allahyarham lebih selesa membimbing dan berkongsi ilmu.
Nasihatnya sering ringkas, tetapi penuh makna kerana baginya, menjadi wartawan bukan sekadar menulis berita, sebaliknya membawa suara masyarakat kepada pihak berkaitan.
Prinsip itu dipegang teguh sepanjang kerjayanya dan disebabkan itulah isu pembangunan luar bandar sentiasa dekat di hati Allahyarham.
Beliau memahami bahawa setiap projek yang diumumkan membawa makna besar kepada kehidupan rakyat.
Jambatan Batang Igan ialah salah satu simbol harapan tersebut.
Kini, apabila melalui Jambatan Batang Igan, setiap kenangan bersama Allahyarham kembali segar.
Kata-katanya terus terngiang-ngiang seolah-olah beliau masih ada, tersenyum sambil berbicara tentang perubahan yang bakal dinikmati masyarakat.
Pemergian Allahyarham meninggalkan kekosongan yang sukar diganti, namun jasa, tunjuk ajar dan kenangan bersamanya akan terus hidup dalam ingatan mereka yang pernah mengenalinya.
Bagi saya, Allahyarham akan sentiasa dikenang bukan sahaja sebagai wartawan berpengalaman, tetapi juga mentor dan sahabat yang banyak berjasa.
Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan segala amal baktinya sepanjang hayat diterima Allah SWT. Al-Fatihah.



