DI sebalik kehijauan hutan, perjalanan yang jauh dan cabaran kehidupan di kawasan pedalaman, terdapat ribuan anak yang menyimpan impian besar untuk masa depan mereka.
Mereka mungkin membesar jauh daripada kemudahan bandar, namun harapan, kebolehan dan cita-cita mereka tidak pernah berbeza daripada anak-anak yang tinggal di kawasan metropolitan.
Anak-anak di pedalaman juga mempunyai impian untuk menjadi doktor, guru, jurutera, penyair, usahawan, golongan profesional atau pemimpin pada masa hadapan. Mereka juga ingin berjaya, membanggakan keluarga dan memberikan sumbangan kepada masyarakat.
Namun, persoalan utama bukanlah sama ada anak-anak pedalaman mempunyai keupayaan untuk berjaya. Persoalan yang lebih besar ialah sama ada mereka diberikan peluang, pendedahan dan sokongan yang mencukupi untuk mencapai potensi masing-masing.
Pendidikan merupakan jambatan yang menghubungkan impian seseorang dengan realiti kehidupan.
Oleh itu, peluang untuk memperoleh pendidikan berkualiti tidak seharusnya ditentukan oleh lokasi seseorang dilahirkan.
Sama ada seseorang anak membesar di bandar besar atau di kawasan pedalaman seperti Mulu, Sarawak, mereka tetap mempunyai hak yang sama untuk menerima pendidikan terbaik dan peluang membangunkan diri.
Pendidikan bukan sekadar bangunan, kemudahan
Apabila membincangkan pendidikan luar bandar, kita sering memberikan perhatian kepada aspek infrastruktur sekolah, kemudahan pembelajaran dan akses kepada teknologi.
Semua faktor tersebut sememangnya penting, tetapi pendidikan yang bermakna bukan hanya bergantung pada bangunan atau peralatan.
Pendidikan juga melibatkan pembentukan keyakinan diri, motivasi, nilai diri dan kepercayaan bahawa seseorang mampu mencapai kejayaan.
Dalam psikologi pendidikan, konsep efikasi kendiri merujuk kepada kepercayaan seseorang terhadap keupayaan dirinya untuk melakukan sesuatu dan mencapai matlamat tertentu.
Murid yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi cenderung untuk berusaha, berani mencuba perkara baharu dan mampu bangkit apabila menghadapi kegagalan.
Sebaliknya, apabila seseorang anak kurang mendapat pendedahan dan sokongan, dia mungkin mula membataskan impiannya sendiri berdasarkan keadaan sekeliling.
Justeru, usaha membangunkan anak-anak pedalaman bukan hanya tentang menyediakan peluang akademik, malah turut membantu mereka mempercayai bahawa mereka mampu mencapai sesuatu yang lebih besar daripada keadaan semasa.
Jurang lokasi tidak seharusnya menjadi jurang peluang
Perbezaan antara pendidikan bandar dengan luar bandar bukanlah berkaitan dengan kebolehan murid, tetapi lebih kepada peluang yang tersedia.
Anak-anak luar bandar mempunyai potensi yang sama.
Malah, sebahagian daripada mereka membesar dengan nilai kehidupan yang membentuk ketahanan diri, seperti sikap berdikari, semangat kerjasama dan keupayaan menyesuaikan diri dengan cabaran.
Namun, mereka mungkin berhadapan dengan beberapa kekangan, seperti jarak perjalanan, akses kepada teknologi, pendedahan kerjaya yang terhad serta kekurangan peluang untuk mengikuti program pembangunan diri.
Dalam dunia yang semakin berubah, teknologi memainkan peranan besar dalam pendidikan. Akses kepada Internet dan sumber digital memberikan peluang kepada murid untuk meneroka ilmu, mengenali dunia luar dan mendapatkan maklumat yang lebih luas.
Sekiranya jurang digital tidak ditangani, keadaan itu boleh menyebabkan wujudnya perbezaan peluang pembelajaran antara murid di bandar dengan murid di luar bandar.
Oleh itu, usaha memperkasakan pendidikan luar bandar perlu dilihat secara menyeluruh dengan memberikan perhatian kepada kemudahan, sokongan psikologi, pembangunan sahsiah dan pendedahan terhadap peluang pada masa hadapan.
Menyemai impian sejak usia muda
Setiap kejayaan besar bermula dengan satu impian kecil. Bagi kanak-kanak, impian merupakan sumber motivasi yang membantu mereka membina hala tuju kehidupan.
Menyedari kepentingan itu, Program Semai Impian Menggapai Cita-Cita dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Batu Bungan, Mulu, Sarawak, sebagai satu usaha untuk menyemai motivasi, keyakinan diri dan aspirasi pendidikan dalam kalangan murid.
Program ini berfokus pada pembangunan potensi diri murid melalui pendekatan psikologi pendidikan, aktiviti penerokaan cita-cita, pembinaan keyakinan diri serta pengukuhan kemahiran sosial dan emosi.
Melalui program ini, murid diberikan ruang untuk mengenali kekuatan diri dan memahami latar belakang keluarga atau lokasi tempat tinggal bukan penghalang untuk mencapai kejayaan.
Menurut pendekatan psikologi positif, kanak-kanak yang mempunyai harapan terhadap masa depan lebih cenderung untuk membina motivasi dan ketahanan diri dalam menghadapi cabaran.
Apabila seseorang murid mula percaya bahawa dia mampu berjaya, dia akan lebih bersedia untuk berusaha mencapai matlamat tersebut.
Peranan guru, ibu bapa dan komuniti
Dalam membina masa depan anak-anak pedalaman, peranan sekolah, keluarga dan komuniti amat penting.
Guru bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu akademik, malah turut menjadi individu yang memberikan inspirasi dan membina keyakinan murid. Kata-kata sokongan daripada seorang guru kadangkala mampu mengubah cara seseorang anak melihat dirinya sendiri.
Ibu bapa pula merupakan sumber sokongan emosi yang utama. Walaupun mungkin berhadapan dengan cabaran dari segi ekonomi dan akses kepada pendidikan, galakan serta kepercayaan ibu bapa terhadap keupayaan anak-anak memberikan kesan besar terhadap perkembangan psikologi mereka.
Kanak-kanak yang merasakan diri mereka dipercayai dan disokong akan lebih yakin untuk mencuba dan mengejar impian.
Dalam masyarakat luar bandar, komuniti juga menjadi satu kekuatan penting. Hubungan kekeluargaan yang rapat, budaya saling membantu dan semangat kebersamaan boleh menjadi faktor perlindungan yang membantu anak-anak membesar dalam persekitaran yang positif.
Membina generasi masa depan tanpa batasan lokasi
Pembangunan pendidikan luar bandar bukan sekadar usaha mengejar pencapaian akademik, malah merupakan usaha untuk membina insan yang yakin, berdaya tahan dan mempunyai impian.
Setiap anak mempunyai kisah kehidupan yang berbeza. Ada yang membesar di tengah-tengah kesibukan bandar dan ada yang membesar dalam suasana kampung serta pedalaman. Namun, perbezaan lokasi tidak sepatutnya menentukan besar atau kecilnya impian seseorang.
Kita perlu memastikan seseorang anak tidak kehilangan cita-cita hanya kerana dilahirkan jauh daripada pusat bandar.
Anak-anak pedalaman juga mempunyai hak untuk bermimpi besar. Mereka berhak mendapat pendidikan berkualiti, sokongan yang mencukupi dan peluang untuk membuktikan keupayaan diri.
Masa depan negara bukan hanya dibina oleh anak-anak yang berada di bandar besar, malah turut dibina oleh anak-anak yang sedang membesar di kawasan pedalaman.
Mungkin hari ini mereka hanyalah murid kecil yang menyimpan impian dalam hati. Namun, dengan peluang, bimbingan dan sokongan yang sewajarnya, mereka berpotensi menjadi insan yang membawa perubahan kepada keluarga, komuniti dan negara.
Impian tidak mengenal lokasi. Yang menentukan masa depan bukanlah tempat seseorang bermula, tetapi peluang yang diberikan untuk mereka berkembang.
• Penulis ialah Pensyarah Program Kaunseling, UNIMAS.



