India mansuh autonomi, Kashmir teraniaya

India dan Pakistan, kedua-duanya memiliki senjata nuklear – pernah berperang dua kali berebutkan Kashmir yang merdeka dari jajahan British 1947.

Wilayah Himalaya di Kashmir seluruhnya jadi rebutan India dan Pakistan, akhirnya masing-masing menguasai sebahagian daripadanya.

Jammu dan Kashmir berada di bawah pemerintahan India memiliki populasi 60 peratus Muslim, dengan sendirinya menjadi kawasan majoriti Muslim paling ramai di India.

Bagaimanapun, duduk di bawah Kuasa New Delhi, Kashmir memiliki keistimewaannya tersendiri.

Berdasarkan Fasal 370 undang-undang India, Jammu dan Kashmir memiliki autonomi menggubal undang-undangnya sendiri dan ia bertahan 70 tahun.

Betapapun, awal bulan ini, pecah sejarah baru apabila India mengingkari janji istimewa itu. Kini tiada lagi autonomi untuk Kashmir ketika banyak janji tidak ditunaikan.

Perdana Menteri India Narendra Modi mengumumkan di Parlimen India Isnin minggu lepas menyatakan Fasal 370 dicabut dan menyifatkan “era baru” bermula untuk wilayah autonomi itu dan khususnya melibatkan sejarah India.

Ucapan Modi disambut tepuk tangan oleh warga India, sementara warga Kashmir naik berang.

Warga Kashmir menganggap penghapusan status istimewa mereka merupakan usaha India mengubah karakter demografi kawasan tersebut, dengan cara memperbolehkan warga bukan Kashmir membeli tanah di situ.

Modi Mungkir Janji

Usaha Modi dari BJP bukan baharu, parti BJP sudah lama menentang Fasal 370 dan pencabutan autonomi itu memasuki manifesto kempen 2019.

Keputusan terbaharu itu merupakan kemuncak usaha BJP yang dianggap keputusan sepihak.

Sebelum ini, orang India luar Kashmir tidak boleh memiliki aset di pergunungan indah itu yang bagus untuk dikomersial bagi industri filem.

Malang, bunyinya kedengaran sama seperti nasib Uighur di Xinjiang (Turkestan Timur) China.

Kini, timbul satu respons baharu, Masyarakat wilayah Kashmir-Pakistan marah tindakan India mencabut status khusus itu.

Rakyat Kashmir Berang

Marah warga Kashmir menyala, mereka tidak dapat menghubungi ahli keluarga di luar kawasan kerana semua telekomuniaksi dilumpuhkan.

Tiada internet. Tiada telefon rumah termasuk jaringan selular.

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan turut bertekad membatalkan keputusan kerajaan India mencabut status khusus wilayah Kashmir-India dan mahu membawa isu ini ke pangkuan PBB.

Pakistan sekarang melobi China, Indonesia dan Poland untuk mengutuk China di Majlis Keselamatan PBB.

Bagi Khan tindakan Modi dapat menambah ketegangan kedua-dua negara dan khuatir berlaku tindakan pembersihan etnik sebagaimana dilakukan tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya di Rakhine.

Khan mendesak masyarakat antarabangsa mengecam India. Britain dan Amerika Syarikat antara negara yang tidak setuju dengan tindakan India dan menganggap tindakan itu mengeruhkan keadaan.

China turut mengkritik India dan menganggap keputusan Modi “tidak dapat diterima”.

Kashmir Darurat

Kawasan Kashmir-India kini darurat dengan tentera India berpatroli di jalan raya yang lengang. India menghantar puluhan ribu tentera pada Isnin minggu lepas.

Sejarah mencatatkan Kashmir-India sudah lama dilanda pemberontakan oleh pemisah mengorbankan banyak jiwa. India menuduh Pakistan propemberontak yang berulang kali dibantah Pakistan.

Parahnya dalam sengketa terbaharu ini, tidak mustahil kedua-dua negara kuasa nuklear ini, India-Pakistan menyambung perang memasuki siri ke-3.

Jelas, Panglima tentera Pakistan mengatakan pasukannya sedia melindungi warga Kashmir untuk perjuangan meraih keadilan.

Kini, warga Kashmir-India mengatakan lebih rela bergabung dengan Pakistan berbanding wilayah dirampas India begitu sahaja.

Lidah Modi yang memerintah India seawal 2014 itu ternyata bercabang. Beliau berjanji membawa pembangunan ke Kashmir dan lebih banyak pihak mendapatkan hak pembangunan tanah mereka.

Modi menjanjikan hak suara yang lebih besar dan transparansi.

Pastikah industri filem tumbuh subur di pergunungan Kasmir yang indah itu ketika Modi sedia mengambil daerah Ladakh secara sepenuhnya?

Suara Sarawak