ARTIKEL

Indikator kemenangan GPS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KAJIAN-KAJIAN awal terhadap politik Sarawak serta faktor calon dan parti dalam menentukan pilihan politik pengundi banyak dijalankan oleh pengkaji dalam dan luar negara.

Namun, dari segi sejarah, sesuatu PRN atau PRU itu amat menarik jika ia dikaji daripada beberapa tahun kebelakangan bagi melihat pola sesuatu kemenangan atau kekalahan.

Berdasarkan kajian kebelakangan ini, ia membantu penyelidik untuk memberi ramalan bagi PRN atau PRU yang bakal menjelma.

Justeru, terdapat pandangan daripada beberapa penyelidik mengenai PRN di Sarawak contohnya klasifikasi kepada beberapa tema. Dapatan kajian boleh ditemakan tentang dayakisme, politik pembangunan, faktor isu lokal seperti pembangunan setempat, faktor ideologi dan institusi, isu etnisiti.

Namun, pola perlakuan politik berubah mengikut keadaan persekitaran dan isu semasa, namun parameter seperti kepimpinan dan personaliti calon, manifesto dan pelaksanaan pembangunan menjadi teras dalam membuat keputusan memilih calon dan parti politik.

Berdasarkan prestasi BN sejak 1970 sehingga 2006, BN menunjukkan prestasi yang membanggakan dan pada masa yang sama agak goyah terutamanya pada awal pemerintahan BN pada tahun 1970.

Menurut Faisal Syam (2011), pola ini dapat diperhatikan dengan menilai prestasi parti pemerintah dalam pilihan raya yang diadakan sejak 1970 hingga 2008.

BN mulai menampakkan kekuatan politiknya pada akhir 1970- an apabila parti tersebut merekodkan kemenangan di 45 daripada 48 kerusi Dun Sarawak yang dipertandingkan, berbanding hanya 23 kerusi pada 1970 dan 30 kerusi pada 1974.

Dari segi undi popular, BN turut mencatatkan peningkatan yang begitu signifikan pada 1970-an; daripada 39 peratus pada 1970 kepada 61.2 peratus pada 1979. Kekuatan BN terus menyerlah di bawah pemerintahan Tun Abdul Taib Mahmud selama lebih dua dekad.

Walaupun prestasi BN sedikit tercalar pada awal pentadbiran Ketua Menteri Sarawak keempat ini (kemenangan 34 kerusi pada 1983 dan 28 kerusi pada 1987), parti pemerintah berupaya mematahkan tentangan parti pembangkang dengan mengambil pelbagai langkah akomodasi dan represif (Faisal, 2009).

Hasilnya, BN berjaya mendominasi empat PRN seterusnya – 49 daripada 56 kerusi atau 87.5 peratus kerusi pada 1991; 57 daripada 62 kerusi atau 91.9 peratus kerusi pada 1996; 60 daripada 62 kerusi atau 96.8 peratus kerusi pada 2001; 62 daripada 71 kerusi atau 87.3 peratus kerusi pada 2006.

Dalam tempoh waktu tersebut, BN merekodkan lebih daripada 60 peratus undi popular kecuali dalam pilihan raya 1987 – BN memenangi 48 kerusi Parlimen.

Pada 1974, memenangi 48 kerusi dan status quo bagi kemenangan 48 kerusi Parlimen berterusan pada 1979, 1983, 1987.

Pada 1987, berlaku pertambahan kerusi Parlimen dan BN berjaya memperoleh 56 kerusi. Kemudian, pertambahan kerusi juga berlaku pada 1996 dan 2001, BN membolot 62 kerusi.

Kali terakhir Sarawak mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah pada 2016. Selang dua tahun kemudian diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada Mei 2018 yang menyaksikan kali pertamanya dalam sejarah Malaysia, berlakunya pertukaran pucuk pimpinan pemerintahan daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan (PH).

Sejurus selepas kemenangan pada PRU Ke-14, iaitu tidak sampai sebulan BN kecundang dan BN di Sarawak menukarkan arah menjadi GPS.

Ia masih dianggotai empat parti politik yang sama iaitu PBB, PRS, SUPP dan PDP. Kemenangan BN pada PRN Ke-11 (2016) dengan majoriti memudahkan pembentukan Kerajaan Sarawak buat penggal ke-11 berturut-turut, setelah memperoleh kemenangan besar di 72 daripada 82 kerusi.

Dari segi undi popular pula, BN Sarawak memperoleh 63.72 peratus undi popular pada PRN 2016 – iaitu peningkatan sebanyak 8.32 peratus berbanding 55.4 peratus yang diperoleh gabungan itu pada PRN 2011.

Namun pada PRU-14 (2018), bukan sahaja Sarawak, malah Sabah juga menyaksikan tsunami pengundi apabila kedua-dua negeri yang sekian lama dikenali sebagai penyelamat BN turut goyah pada PRU-14.

Umum mengetahui kubu kuat BN di Sabah dibolosi parti Warisan yang menjadi penyumbang terbesar momentum penguasaan PH di negeri terbabit dengan menyaksikan 67 peratus pengundi beralih arah, berbanding 32 peratus kekal mengundi BN dan Pas (satu peratus).

Sebaliknya berlaku di Sarawak. Walaupun BN mengekalkan pemerintahannya di negeri terbabit, namun parti itu kehilangan beberapa kerusi tradisi apabila PH turut memperluaskan penguasaannya dalam undi popular di Sarawak.

Di sebalik kedudukannya sebagai kuasa penentu atau negeri penyelamat untuk PRU-14, BN ketika itu sekadar selesa memenangi 19 daripada 31 kerusi yang dipertandingkan.

Sejarah tercipta apabila ia menyaksikan BN tewas di enam kerusi dikuasainya di Mas Gading, Puncak Borneo, Lubok Antu, Saratok, Julau dan Selangau.

Namun, ia disifatkan sebagai keputusan amat mengejutkan kerana BN sebelum ini menyatakan keyakinan mampu menyumbang sekurangkurangnya 28 hingga 29 kerusi.

Perkara ini termasuk empat kerusi bonus yang disasarkan mampu dimenangi dalam pilihan raya kali ini, masing-masing di Stampin, Sarikei, Sibu dan Miri, atas faktor sokongan di peringkat akar umbi.

Bagaimanapun, misi menawan semula kerusi bonus berkenaan, yang digalas SUPP gagal apabila keempat-empatnya terus ditawan mudah oleh Dap dan PKR.

Dap turut mengekalkan penguasaan empat kerusi iaitu Bandar Kuching, Lanang, Sibu dan Sarikei, selain menawan kawasan majoriti Bumiputera pertama mereka, Mas Gading.

Keselesaan ini boleh menjadi sesuatu yang merungsingkan kerana sekiranya BN masih memerintah – selama kurang daripada tiga tahun memerintah selepas PRU-14 – apakah rakyat berpuas hati terhadap prestasi GPS terutamanya dalam melaksanakan janji-janji manifestonya setakat ini?

Dr. Nadrawina Isnin ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Sarawak.

BERITA LAIN

Bina impian anak Sarawak

SETIAP kali Belanjawan Sarawak dibentangkan, perhatian masyarakat lazımnya tertumpu pada angka peruntukan, projek pembangunan dan pelan ekonomi negeri. Namun, ukuran sebenar kejayaan sesebuah belanjawan bukan

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU

Liputan Internet Kota Sentosa capai 98.5 peratus

KUCHING: Liputan Internet mengikut kawasan penempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa kini mencapai 98.5 peratus, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk