KUALA LUMPUR: Industri penternakan ayam Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dalam jangka sederhana kerana permintaan stabil dan asas pengeluaran domestik yang kukuh, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Kadar sara diri ayam dianggarkan kira-kira 91 hingga 93 peratus, manakala pengeluaran telur melebihi keperluan domestik pada kira-kira 107 peratus.
Namun, kebergantungan hampir sepenuhnya kepada import jagung dan hampas kacang soya, yang menyumbang kira-kira 70 peratus kos makanan ternakan, mendedahkan pengeluar kepada turun naik harga global dan tekanan margin keuntungan.
Dalam pada itu, Dasar Agromakanan Negara 2.0 yang menyasarkan kadar sara diri ayam 140 peratus menjelang 2030 membuka peluang pelaburan dalam ladang pembiak baka, kilang makanan ternakan dan rantaian sejuk seperti dilapor Bernama.
Selain itu, bank pelaburan tersebut mengingatkan bahawa langkah dasar seperti harga siling runcit boleh menyebabkan penternak kecil mengurangkan pengeluaran, lalu menjejaskan bekalan kerana pengeluaran ayam tidak dapat ditingkatkan serta-merta.





