ARTIKEL

Info penyakit berjangkit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Tajuk Buku: Ensiklopedia Penyakit Berjangkit

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Penulis: Panel Penulis

Tahun terbit: 2024

Harga: RM250.00

Jumlah muka surat: 429

Pengulas: Sylvester Riang

Buku Ensiklopedia Penyakit Berjangkit banyak mengupas tentang jenis-jenis penyakit berjangkit, gejala serta cara penularan dan mengatasi penyakit tersebut. Penyakit berjangkit ialah penyakit yang disebabkan oleh agen infeksi yang spesifik atau disebabkan oleh hasil toksiknya.

Penyakit ini bukan sahaja ditularkan daripada manusia kepada manusia yang lain tetapi boleh ditular daripada haiwan yang terinfeksi kepada manusia sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Penyakit berjangkit juga salah satu punca utama kematian manusia di seluruh dunia serta dihadapi oleh individu pelbagai usia, jantina dan bangsa.

PENYAKIT BERJANGKIT

Antara jenis penyakit berjangkit ialah penyakit tibi, cacar, difteria, polio, virus kurang daya tahan manusia (HIV), hepatitis, Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS), selesema burung, Zika, COVID-19 dan sebagainya. Antara agen penyakit berjangkit ialah virus, bakteria, kulat, protozoa dan lain-lain.

Banyak faktor yang boleh menyumbang kepada penyakit berjangkit seperti penggunaan antibiotik, racun serangga, perubahan iklim, kerosakan hutan, perubahan habitat haiwan, pelancongan, kekurangan vaksinasi, pemakanan serta faktor aktiviti vendor seperti nyamuk.

Dalam konteks penyakit berjangkit, terdapat tiga istilah yang sering muncul, iaitu endemik, epidemik dan pandemik.

Endemik bermaksud wujudnya sesuatu penyakit di sesuatu kawasan pada kadar biasa atau rendah. Manakala, epidemik membawa maksud penyakit yang berlaku lebih daripada kadar biasa atau berlaku peningkatan kes atau penyebaran di kawasan yang lebih luas.

Pandemik pula bermaksud kejadian epidemik yang berlaku dengan di kawasan yang lebih meluas seperti merentasi negara dan menua seperti COVID-19.

CARA PENULARAN

Berdasarkan penerangan buku ini, penularan penyakit berjangkit dibahagikan kepada dua kategori, iaitu sentuhan (kontak) dan tanpa sentuhan.

Kategori sentuhan boleh dipecahkan kepada beberapa bahagian yang lebih kecil seperti sentuhan langsung, sentuhan tidak langsung dan titisan.

Sentuhan langsung bermaksud sentuhan secara fizikal daripada permukaan badan seseorang yang dijangkiti dengan permukaan badan orang lain yang sihat seperti berjabat tangan atau pelukan.

Penularan jenis ini boleh diatasi dengan amalan menjaga kebersihan tangan, memakai pelitup muka dan sarung tangan.

Kategori sentuhan tidak langsung pula berlaku apabila agen infeksi melekat di sesuatu permukaan atau objek seperti tombol pintu sehingga orang lain menyentuh tombol pintu berkenaan.

Bagi mengatasi penular penyakit berjangkit kategori ini, kita perlu melakukan pensterilan alat serta menyahjangkit (disinfeksi) sesuatu permukaan yang terdedah kepada agen penyakit tersebut.

Seterusnya adalah melalui titisan seperti semasa batuk, bersin, bercakap serta bernyanyi dan hal ini dapat diatasi dengan memakai pelitup muka, menutup mulut semasa batuk atau bersin dan menjauhkan diri dari orang yang telah dijangkiti.

Menurut buku ini, penularan tanpa sentuhan boleh dipecahkan kepada tiga kategori, iaitu bawaan udara, pembawa jangkitan dan bawaan vendor.

Penularan bawaan udara tular melalui molekul atau nukleus titisan yang mengandungi agen jangkitan yang diterbangkan oleh angin.

Hal ini dapat diatasi dengan memakai pelitup muka, menutup mulut semasa batuk atau bersin, menjauhkan diri daripada individu yang dijangkiti, mendapatkan vaksinasi dan mengasingkan pesakit dalam bilik berasingan.

Pembawa jangkitan pula bermaksud sesuatu seperti makanan yang telah dicemari oleh agen penular jangkitan. Misalnya, makanan di sebuah restoran telah dicemari oleh agen penular penyakit berjangkit dan setiap orang yang memakan makanan yang telah dicemari itu akan dijangkiti.

Seterusnya, melalui bawaan vendor (serangga atau haiwan) misalnya nyamuk aedes menularkan penyakit demam denggi, nyamuk culex menularkan penyakit malaria, monyet menularkan penyakit ebola dan anjing menularkan penyakit rabies.

SUSU IBU

Apabila bercakap tentang penyakit berjangkit, para ibu sentiasa risau akan keselamatan dan kesihatan anak mereka terutamanya yang masih bayi.

Perkara tersebut memang tidak dapat dinafikan tetapi menurut buku ini, susu ibu mengandungi antibiotik yang dapat melindungi bayi daripada jangkitan patogen yang terdapat di persekitaran bayi.

Oleh itu, pemberian susu ibu sangat penting untuk bayi kerana sistem imun bayi yang belum matang tidak dapat menghasilkan antibiotik sendiri untuk melindungi mereka daripada jangkitan patogen.

VAKSINASI

Perkara lain yang turut dikupas dalam buku ini tentang pemberian vaksinasi dan imunisasi sebagai kaedah yang amat berkesan dan murah untuk mencegah penyakit berjangkit.

Vaksin sebenarnya bahan yang mengandungi virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan.

Vaksinasi bermaksud proses pemberian vaksin ke dalam tubuh seseorang untuk membentuk daya tahan terhadap penyakit tertentu.

Manakala imunisasi pula bermaksud tindak balas tubuh terhadap vaksin dengan membentuk antibodi untuk melawan virus atau bakteria.

Imunisasi boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu imunisasi aktif dan pasif. Menurut buku ini, imunisasi aktif berlaku apabila vaksin diberikan dan imunisasi pasif bermaksud apabila hanya serum yang mengandungi imunoglobin atau antibodi tertentu diberikan.

Imunisasi pasif diberi kepada pesakit untuk melawan virus atau bakteria kerana imunisasi aktif mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk antibodi mencapai paras yang boleh melawan penyakit.

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU

Billy Mahu ICQS Biawak Dinaik Taraf

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak perlu diberi perhatian bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan