KUCHING: Persatuan Bola Sepak Bahagian Mukah (MuFA) telah merancang susun atur program untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini.
Program ini meliputi penganjuran kejohanan di pelbagai peringkat, sejajar dengan usaha badan induk dalam memperkasakan pembangunan sukan bola sepak di kawasan terbabit.
Presiden MuFA, Khairul Anuar Adeni, memberitahu bahawa pelaksanaan program dijadualkan bermula bulan depan (Februari).
“Pihak kami (MuFA) sudah mempunyai susun atur program atau kejohanan sepanjang tahun ini.
“Segalanya telah dibincangkan dalam mesyuarat bersama barisan exco sebelum ini,” ujar Anuar kepada Arena Suara Sarawak.
Antara program yang telah dirancang adalah Liga Penalti MuFA untuk semua peringkat umur.
“Fokus awal kami adalah menganjurkan Liga Penalti MuFA untuk peringkat umur 8, 10, 12, wanita, senior, dan veteran.
“Usaha ini diharapkan dapat menggalakkan golongan sasar kembali aktif bermain bola sepak,” tambah Khairul.
Beliau juga menyatakan bahawa program pertama (Liga Penalti MuFA) akan dilaksanakan sebelum bulan puasa.
Selain itu, MuFA juga akan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Bawah 23 Tahun yang dijadual berlangsung dua minggu selepas lebaran.
“Kejohanan untuk pemain berstatus veteran juga akan dianjurkan dan dijangka berlangsung pada bulan Mei nanti.
“Kejohanan untuk bawah 20 tahun dijangkakan dilangsungkan pada bulan Julai,” menurut Khairul.
Jelasnya, saingan untuk Liga Setia Raja MuFA 2025 (LSRM 2025) dijangka berlangsung pada bulan November.



