KUCHING: Inisiatif pendidikan percuma kepada pelajar di negeri ini adalah matlamat jangka panjang Kerajaan Sarawak yang memerlukan perancangan rapi.
Demikian kata Ketua Setiausaha Politik Premier Fazzrudin Abdul Rahman sambil menambah, inisiatif diumumkan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang dijadual dilaksanakan pada 2026 itu memerlukan Kerajaan Sarawak mengambil kira prestasi kewangan dan keupayaan negeri.
Katanya, bukan sahaja pada masa ini tetapi juga pada masa hadapan agar program itu dapat dikekalkan dan memberi manfaat kepada anak watan Sarawak yang menuntut di institusi pendidikan Sarawak sendiri.
“Satu pemboleh untuk memenuhi visi jangka panjang ini adalah melalui penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak (SSWFF) yang hanya akan beroperasi mulai tahun depan. Objektif utama dana ini adalah menjaga kepentingan Sarawak dan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Senator Abun Sui Anyit yang menggesa agar Kerajaan Sarawak melancarkan inisiatif pendidikan tinggi percuma menjelang tahun depan.
Sehubungan itu, Fazzrudin berkata bahawa perancangan teliti amat penting kerana Kerajaan Sarawak tidak mahu inisiatif ini menjadi insentif sekali sahaja atau dilaksanakan secara sedikit demi sedikit.
Katanya, pendidikan merupakan keutamaan utama Kerajaan Sarawak dan melaluinya, ia dapat memenuhi pendemokrasian pendidikan di Sarawak.
Dalam pada itu, usaha menjadikan pendidikan lebih mudah diakses oleh rakyat Sarawak telah dilaksanakan melalui institusi pendidikan Kerajaan Sarawak dengan pemberian biasiswa dan dermasiswa ditawarkan melalui Yayasan Sarawak bagi mengurangkan beban keluarga mereka, ujarnya.
“Menerusi Yayasan Sarawak, Kerajaan Sarawak yang diterajui Premier turut memperkenalkan diskaun 30 peratus untuk bayaran balik Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam.
“Saya percaya wawasan pendidikan percuma diperkenalkan Sarawak harus dicontohi oleh Kerajaan Persekutuan kerana pelaburan dalam pendidikan adalah kunci masa depan Malaysia.
“Mereka harus menggunakan perancangan mekanisme yang diperkenalkan Sarawak berhubung pemberian inisiatif pendidikan percuma berkenaan.
“Saya yakin sekiranya sumber kewangan Kerajaan Sarawak tidak disalurkan untuk projek pembangunan infrastruktur di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, contohnya pembinaan jambatan dan sekolah, sudah tentu Sarawak boleh memperuntukkan lebih banyak sumber kewangan untuk pendidikan kepada rakyat Sarawak,” katanya.



