SEJAK pintu sempadan negara mula dibuka selepas bebas daripada pandemik, orang ramai dari segenap pelosok dunia mula mengembara ke destinasi yang dihajati.
Ini kerana kita semua sudah lama terperuk di dalam rumah sejak tiga tahun lepas, yang sedikit merencat perancangan untuk melancong ke luar negara.
Kini, kita bebas untuk merantau ke destinasi pilihan sambil menenangkan fikiran.
Minggu lepas, saya bersamasama adik dan kakak berkunjung ke Korea Selatan.
Nama Korea Selatan ini saya mulai kenal pada tahun 2002, ketika berusia lapan tahun, ketika populasi dunia pada memberi sepenuh perhatian kepada Piala Dunia FIFA yang dianjurkan oleh Korea Selatan dan Jepun.
Kedua-dua negara tersebut menjadi negara pertama dari Asia yang menganjurkan kejohanan paling ulung itu.
Ketika demam Piala Dunia FIFA belum reda, Korea Selatan sekali lagi mencipta nama di peringkat global menerusi drama Korea mereka yang boleh dikatakan sebagai gelombang budaya kedua Korea.
Sejak itu, ia menarik minat saya untuk mengetahui lebih banyak mengenai Korea Selatan dan mencari sebab mengapa nama negara itu sentiasa meniti di bibir masyarakat, khususnya wanita-wanita Malaysia pada masa ini.
Menerusi pencarian di Internet, saya mempelajari sejarah di sebalik negara K-Pop itu, daripada negara yang suatu ketika mempunyai raja, kisah Laksamana Yi Sun Shin, perang Korea 1950-1953, presiden pertama Korea Selatan sehingga Moon Jae In, kecanggihan teknologi yang dipelopori oleh Samsung serta peristiwaperistiwa besar yang pernah berlaku dalam negara tersebut.
Kami tiga beradik meluangkan masa kira-kira seminggu di Seoul, kebanyakannya melawat tempattempat ikonik seperti Istana Gyeongbokgung yang merupakan istana pada Dinasti Joseon serta melawat Rumah Biru atau nama rasminya Cheongwadae yang merupakan kediaman rasmi bagi Presiden negara itu.
Selain itu, kami turut melawat beberapa kawasan yang menarik dan ikonik seperti Daerah Gangnam, Muzium Memorial Perang Korea, Menara Namsan dan pelbagai lagi.
Yang menarik perhatian saya sepanjang seminggu di Korea adalah pengangkutan awam mereka, baik kereta api bawah tanah mahupun bas.
Saya boleh ibarat ia seperti pengangkutan awam di Kuala Lumpur seperti yang saya pernah naiki sebelum ini.
Pengangkutan awam di Korea Selatan begitu cekap dan efisien, tidak perlu menunggu lama di stesen untuk bergerak ke destinasi.
Maka tidak hairan jumlah kenderaan di jalan raya negara tersebut boleh dikatakan sedikit kerana ramai menggunakan pengangkutan awam.
Selain itu, Korea Selatan memulihara dan memelihara budaya mereka dengan sebaik mungkin yang amat bernilai bagi negara mereka.
Ketika melawat Istana Gyeongbokgung, terdapat muzium yang mempamerkan Hanbok, pakaian tradisi negara tersebut yang digunakan untuk hari-hari besar seperti sambutan tahun baharu dan majlis perkahwinan.
Malah dalam pameran tersebut, busana Hanbok yang dipamerkan merupakan pakaian kerabat diraja ketika era dinasti Joseon suatu ketika dahulu yang turut disertakan dengan maklumat-maklumat penting.
Saya melihat ada sedikit persamaan seperti kita di Sarawak dalam memelihara dan memulihara adat dan budaya pelbagai kaum di sini seperti yang terdapat di Muzium Budaya Borneo.
Sekembalinya di tanah air, saya teringat dengan kata-kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang pernah beliau katakan iaitu mencontohi pendekatan Korea Selatan untuk untuk mencapai status Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.
Apa-apa yang dikatakan oleh Abang Johari adalah benar sekiranya ingin menjadikan negeri ini maju, kemakmuran dan kemajuan dinikmati oleh Korea Selatan adalah hasil usaha keras mereka selepas gencatan senjata pada tahun 1953.
Korea Selatan merupakan negara yang hancur selepas perang dengan saudaranya di Utara dan bangkit menjadi kuasa ekonomi sekitar tahun 80-an.
Kejayaan Korea Selatan sebahagian besarnya dikaitkan dengan tumpuannya pada pendidikan, inovasi teknologi dan kepelbagaian ekonomi.
Mengguna pakai strategi yang sama boleh membantu Sarawak meningkatkan sistem pendidikannya, melabur dalam teknologi dan inovasi, dan mempelbagaikan ekonominya, yang berpotensi membawa kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi, infrastruktur yang lebih baik, dan tenaga kerja mahir.
Walau bagaimanapun, penting untuk mempertimbangkan keadaan unik, sumber dan perbezaan budaya Sarawak sambil mendapatkan inspirasi daripada laluan pembangunan Korea Selatan.
Mungkin Sarawak berada jauh di belakang Korea Selatan, namun tidak salah kita mengikuti model pembangunan mereka agar kita sama-sama menikmati kemakmuran dan kemajuan negeri ini.






