KOTA SAMARAHAN: Kerajaan komited melaksanakan langkah segera dan tuntas bagi menangani isu tekanan air rendah yang membelenggu penduduk di Kampung Baru, di sini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kerajaan akan mempercepat pelaksanaan projek menaik taraf sistem perpaipan bagi memastikan bekalan air kembali stabil serta mencukupi untuk keperluan harian.
“Pada asalnya sistem air di sini mencukupi, namun pertambahan bilangan rumah dan penduduk menyebabkan sistem bekalan air sedia ada tidak lagi mampu menampung kapasiti penggunaan semasa.
“Kita perlu menambah baik rangkaian paip agar pengagihan bekalan air kepada penduduk menjadi lebih efisien,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan tapak bersama Sarawak Water Sdn Bhd serta agensi berkaitan di kampung berkenaan, hari ini.
Datuk Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan menjelaskan, kerja penyambungan paip baharu dan lama di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) kini hampir siap sepenuhnya, namun beberapa kawasan masih dikesan mengalami masalah tekanan air rendah.
Menyentuh mengenai penyelesaian jangka panjang, beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan melebihi RM300 juta bagi projek penggantian paip lama di seluruh kawasan Kota Samarahan termasuk Kampung Baru.
“Projek ini dijangka bermula dalam masa terdekat dan dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan.
“Kita yakin selepas siap kelak, bekalan air akan menjadi lebih stabil dan masalah air tidak terakaun (NRW) atau kehilangan air dalam sistem dapat dikurangkan,” katanya.
Beliau dalam pada itu mengenal pasti penggunaan pam air individu oleh segelintir penduduk sebagai antara faktor yang menjejaskan tekanan air, khususnya bagi kediaman di penghujung kampung.
“Apabila berlaku gangguan elektrik, semua rumah didapati menerima bekalan air kerana pam tidak beroperasi.
“Ini membuktikan penggunaan pam secara individu memberi kesan kepada kestabilan sistem secara keseluruhan,” katanya.
Tambah beliau, usaha penghantaran air menggunakan lori tangki sebelum ini tidak dapat memenuhi keperluan penduduk sepenuhnya berikutan kekangan laluan sempit di kawasan kampung berkenaan.
Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd, Maselni Jamal dan Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak.



