Apabila disebut sahaja mengenai istilah perkahwinan, hampir kesemua individu berkahwin menginginkan hubungan mereka kekal sehingga akhir hayat.
Namun hakikatnya, pada masa ini perceraian merupakan satu solusi yang sering diguna pakai oleh golongan yang sudah berkahwin ketika mereka mengalami konflik rumah tangga.
Di Malaysia perceraian melibatkan orang bukan Islam perlu mengikut peruntukan undang- undang di bawah Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.
Manakala bagi orang Islam proses perceraian mereka berdasarkan Enakmen Keluarga Islam Negeri masing-masing.
Jumlah Perceraian
Isu perceraian tidak boleh dipandang remeh kerana jumlah pasangan bercerai semakin meningkat saban hari.
Berdasarkan Jabatan Statistik Malaysia, jumlah pasangan Islam bercerai pada 2017 adalah melibatkan 39,709 kes, manakala bukan Islam dalam tempoh yang sama adalah 10,256 kes.
Sementara itu, dalam laporan akhbar nasional, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, sebanyak 2,932 kes perceraian di bawah usia perkahwinan lima tahun bagi orang Islam di Wilayah Persekutuan.
Kawasan itu termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang direkodkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 2013 hingga 2017.
Katanya, bagi bukan Islam pula, sebanyak 14,440 kes direkodkan bagi tempoh sama berdasarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Untuk tempoh itu Johor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,860 kes diikuti Kuala Lumpur (2,2721 kes) dan Selangor (1,858 kes).
Berdasarkan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2014 menunjukkan lebih satu pertiga perkahwinan pertama berakhir dengan perceraian atau perpisahan dalam tempoh lima tahun pertama usia perkahwinan.
Punca Perceraian
Dalam laporan akhbar nasional, kebanyakan kes perceraian yang difailkan oleh pasangan itu adalah atas faktor yang remeh.
Antara punca perceraian yang pernah difailkan adalah kerana isteri suka mengikuti rombongan beramai-ramai, isteri suka membasuh baju pada waktu malam dan suami tidak suka isteri makan di dalam kereta, perbezaan fahaman politik, gaji suami rendah, pasangan tidur berdengkur serta gemar membeli-belah.
Terdahulu dalam laporan akhbar tempatan, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, faktor curang akibat perkahwinan jarak jauh adalah antara enam punca utama perceraian.
Lima punca lain adalah melibatkan masalah kewangan, tiada persefahaman, penyalahgunaan dadah, keganasan rumah tangga, dan pengaruh media sosial.
Fatimah berkata, masalah kewangan ialah faktor utama perceraian bukan Muslim di negara ini.
Katanya, dari 6,901 kes perceraian bukan Muslim direkodkan pada tahun lalu, 43 peratus atau 2,971 kes itu adalah disebabkan masalah kewangan.
Jalan penyelesaian
Ironinya, pada hari ini perceraian sudah menjadi perkara normal dalam masyarakat kita. Baru berkahwin beberapa minggu atau bulan pun boleh bercerai.
Kebanyakan pasangan muda terburu-buru mengambil sesuatu tindakan sama ada untuk berkahwin mahupun keputusan untuk berpisah.
Trend barisan selebriti adalah contoh terbaik yang sering bercerai pada hari ini. Sepatutnya perkahwinan ini tidak boleh dipandang remeh.
Perkahwinan perkara yang dipandang serius di sisi agama Islam dan begitu juga dengan agama lain yang tidak menggalakkan perceraian kerana mengakibatkan permasalahan besar disebabkan perpisahan.
Justeru, peranan ibu bapa, pasangan masing-masing dan juga pihak berkuasa perlu digembleng untuk memperkukuhkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan di negara ini.
Peranan Ibu bapa penting bagi memastikan anak-anak mereka sudah benar-benar bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan.
Perlu diingatkan, berkahwin bukan untuk suatu tempoh yang tertentu sebaliknya akan kekal hidup bersama hingga ke akhir hayat.
Untuk itu, ibu bapa diharap tidak sewenang-wenangnya membenarkan anak-anak melangsungkan perkahwinan jika belum bersedia sepenuhnya. Bukan niat untuk menghalang perkara yang baik, namun demi masa depan ia perlu dipastikan.
Setiap pasangan perlu sedar tanggungjawab masing-masing dan berpegang pada prinsip jangan berkahwin untuk bercerai.
Oleh itu, pasangan baru berkahwin perlu bertolak ansur dan memberi ruang kepada pasangan masing-masing untuk mengadaptasi alam baharu perkahwinan.
Kredit gambar hiasan : IAE