Isu sekolah daif bakal temui titik noktah?

Semalam Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong sekali lagi meminta tindakan Kementerian Kewangan menyegerakan kelulusan bagi bayaran pendahuluan RM1 billion untuk sekolah daif di negeri ini.

Projek yang memakan masa dua tahun itu memerlukan bayaran RM1 bilion secara berperingkat-peringkat.

Bayaran pertama Kerajaan Sarawak akan menyalurkan RM300 juta, seterusnya RM300 juta lagi untuk peringkat kedua dan baki pada peringkat akhir sehingga selesai RM1 bilion.

Manyin pada majlis yang sama mengumumkan semalam bahawa Ketua Menteri sudah menyediakan cek RM300 juta untuk tahun ini tetapi masih menunggu kelulusan Kementerian Kewangan.

Dalam hal ini, Kerajaan Persekutuan perlu lebih serius menangani isu berkenaan apabila kebanyakan sekolah usang terletak di pedalaman.

Bayangkan, keseluruhannya 1,020 daripada 1,453 sekolah rendah dan menengah di negeri ini dikategorikan sebagai daif, malah sebahagian besarnya berusia lebih 30 tahun.

Manakala 415 sekolah lagi berada dalam keadaan sangat usang dan memerlukan pembaikan segera kerana berusia lebih 50 tahun.

Tidak hanya bangunan usang, wujud juga masalah lain kuarters guru dan asrama yang daif, tiada bekalan air bersih dan elektrik, tiada kemudahan internet yang menyukarkan urusan pembelajaran dan penghantaran data secara atas talian, selain pusat sumber serta makmal yang serba kekurangan.

Realitinya, sekolah di pedalaman Sarawak memang daif dan sangat daif.

Tanpa kelulusan segera Kementerian Kewangan, usaha ini tergantung kerana Kerajaan Sarawak hanya melaksanakan usang memperbaiki sekolah daif dan usang, jika sudah mendapat lampu hijau daripada kementerian terbabit.

Dana diletak di bawah projek akan diuruskan dan dipantau sebuah jawatankuasa tiga pihak terdiri daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan dan kerajaan Sarawak.

Meskipun pendidikan terletak di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat, komitmen Kerajaan Sarawak seperti ini amat dialu-alukan bagi memastikan program membabitkan kebajikan rakyat dan kepentingan awam tidak diketepikan.

Malah, jaminan dan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan untuk memberi kerjasama meletakkan masalah sekolah daif sebagai antara isu paling utama yang perlu diselesaikan segera, tentunya melegakan banyak pihak.

Konsep saling membantu Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Pusat dalam isu sekolah daif ini tentunya wajar dicontohi oleh negeri lain.

Ia tidak lain daripada mengejar satu matlamat agar kepentingan pelajar luar bandar tidak terus dipinggirkan dengan rakan mereka di bandar dalam mendapatkan pendidikan terbaik.