Jadi pengasuh pencorak peribadi anak

Sering kita dengar pepatah ‘melentu buluh biarlah dari rebungnya’ sinonim dengan membentuk sikap si kecil. 

Ramai yang merasakan bahawa membentuk sikap dan perwatakan seorang anak terletak pada tanggungjawab ibu bapa.

Ya, memang benar bahawa ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam membimbing anak-anak mereka.

Namun, apabila ibu bapa terpaksa bekerja mencari rezeki maka tanggungjawab dalam mendidik dan membimbing mereka dibahagikan dengan pengasuh di pusat taska ataupun tadika.

Maka, di sini bermula perjalanan kanak-kanak tersebut dalam melayari kehidupan sendiri, pusat asuhan menjadi institusi rasmi bagi pendidikan awal kanak-kanak.

Bukan mudah dalam mendidik dan membimbing anak-anak yang masih kecil, namun pengasuh diberikan latihan secara terperinci dalam mendidik mereka.

Para pengasuh diberi Kursus Asuhan Permata dalam mengendalikan kanak-kanak seiring peringkat umur. Maka ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka ke pusat asuhan harus memastikan pusat tersebut mempunyai pengasuh yang bertauliah.

Berkuat kuasa 1 Januari 2013, Kursus Asuhan Permata merupakan kursus yang diwajibkan ke atas pengusaha, pengurus, penyelia dan pengasuh menggantikan Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK) yang dilaksanakan sejak 1988.

Menurut Peraturan 54, Peraturan Taska 2012, semua pengusaha, pengurus, penyelia dan pengasuh wajib hadir dan lulus Kursus Asuhan Permata dalam tempoh dua belas bulan bekerja.

Latihan berkaitan asuhan dan didikan awal kanak-kanak amat penting menentukan kualiti pengasuhan dan penjagaan kanak- kanak di Taska dipatuhi.

Usaha ini bertujuan memenuhi keperluan perkembangan menyeluruh, keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak serta menangani berlakunya insiden kemalangan dan kematian kanak-kanak seperti yang kerap dilaporkan di media massa.

Jadi Keutamaan

Menjadi pengasuh kanak-kanak bukan kerana gaji semata-mata, namun sikap mencintai anak-anak kecil harus menjadi keutamaan dalam menceburi bidang ini.

Semasa Majlis Ramah-Tamah Gawai Raya baru-baru ini Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Hajah Fatimah Abdullah berkata para pengasuh seharusnya berbangga dan jangan malu menjadi pengasuh kerana mereka penentu mencorak peribadi si kecil.

“Sebagai warga Pendidikan Awal Kanak-kanak anda harus berbangga dan tidak malu dengan kerjaya ini kerana andalah penentu mencorakkan personaliti, sahsiah dan keperibadian anak-anak kecil ini,” katanya ketika menyerahkan sijil kepada peserta Kursus Asuhan Permata pada majlis tersebut.

Jadi minat terhadap kanak-kanak penting dalam menceburi bidang pendidikan awal kanak-kanak. Sikap penyabar dan berhati-hati juga penting menjadikan seseorang pengasuh itu berkualiti. Sikap seperti ini juga dapat memberi kepercayaan kepada ibu bapa meninggalkan anak mereka di pusat taska dan tadika tersebut. Melakukan kesilapan semasa bekerja adalah tatatertib yang harus dielak. Kesilapan menjadi pengasuh kanak-kanak ada kalanya tidak disengajakan, namun kesan teknologi zaman ini ramai pengasuh sering lupa tanggungjawab mereka.

Misalnya, ketika bermain telefon bimbit sambil melayari media sosial seperti Facebook dan Youtube.

Perkara seperti ini boleh mengundang tragedi malang terhadap kanak-kanak seperti jatuh, tersedak susu, mangsa culik dan sebagainya kerana kelalaian pengasuh.

Oleh itu, institusi harus peka dan arif berkaitan kebajikan kanak-kanak dan menilai setiap pengasuh secara mendalam bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.