TUJUH tahun mengharungi perjalanan sebagai Ketua Menteri dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah membuktikan beberapa set kejayaan yang cukup membanggakan.
Baik dari segi hala tuju negeri, teknologi mahupun politik, beliau telah mencipta satu demi satu kejayaan yang membanggakan. Rezeki bagi dirinya tidak pernah salah alamat, biarpun sebelum ini sedikit lewat untuk diterima.
Dalam kebanyakan kes, sifat tenang dan sikap berhati-hatinya memberikan imbuhan yang lumayan, bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga kepada Sarawak. Kejayaan terbesarnya, tentulah dengan membawa keluar parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak untuk menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Percaturan ini, yang kemudian tidak memihak kepada mana-mana blok politik, sebenarnya telah menukarkan landskap politik dan ekonomi Sarawak secara total, terutamanya dalam politik nasional. Kuasa berada di tangan Sarawak sendiri dalam apa-apa jua keadaan. Dan bagai orang mengantuk disorongkan bantal, ketika politik nasional bergolak, GPS telah muncul menjadi parti politik yang penting dalam menentukan siapa kerajaan.
Kini dalam keadaan apa-apa pun, GPS kekal dominan dan dipercayai. Jika ia ‘batuk’, maka kesannya cukup besar dalam politik nasional. Lebih menarik sebenarnya, kerana tindakan tepat Abang Johari inilah maka pada hari ini, pemimpin dari Sarawak buat pertama kali dalam sejarah, dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dan keadaan ini akan berterusan jika, politik di negara ini terus stabil, dan usaha blok Borneo mengembalikan hak dua nisbah kerusi yang seimbang antara tiga wilayah di Malaysia berjaya direalisasikan.
Yang pasti, tujuh tahun yang genap pada Sabtu lalu membuktikan pemimpin yang berusia 74 tahun pada 4 Ogos depan ini telah berjaya mengubah Sarawak, untuk mendahului bukan sahaja negeri, malah beberapa negara lain. Beliau memahami keperluan dan kepentingan semasa dan masa depan, justeru beliau memberi fokus kepada ekonomi baharu yang berteraskan digital dan hijau.
Malah Sarawak menjelajah ke era ekonomi hidrogen, dan menjadi antara beberapa lokasi di rantau ini yang terlibat dengannya.
Hakikat ini sudah pasti tidak akan tercapai tanpa pembacaan yang tekun terhadap pembangunan di negaranegara lain, selain kunjungan sambil belajar ke lokasi berkaitan. Sarawak mengimpikan kehebatan banyak negara, seperti menjadi Bavaria di Malaysia. Manakala dari aspek teknologi, ia mengimpikan kemajuan Estonia dan beberapa wilayah di Korea Selatan dan China.
Politik yang utuh dan stabil ini membolehkan Abang Johari merealisasikan semua ideanya untuk membangunkan Sarawak. Melaksanakan teknologi seperti autonomous rapid transit tidak bermakna beliau melupakan rakyat di pedalaman yang masih berhadapan isu air dan elektrik.
Beliau malah mengilhamkan grid air dan elektrik, selain kaedah alternatif yang membolehkan seluruh kawasan di negeri ini bakal menikmati kemudahan ini dalam tempoh tiga tahun dari sekarang. Komunikasi Internet juga diperkasakan sedemikian rupa, dan Lembaga Multimedia Sarawak telah ditugaskan untuk menjayakan seluruh Sarawak diliputi.
Projek menara dan sebagainya, kini sedang giat dilaksanakan dan dalam tempoh kurang lima tahun lagi, tidak mustahil seluruh negeri ini akan mendapat liputan terbaik. Tidak lagi bercakap perihal bank DBOS, syarikat minyak PETROS, sekolah daif, sekolah antarabangsa; fokus Sarawak di mata Abang Johari kini adalah kepada Pelabuhan Bintulu, pemilikan Maswings dan pendidikan tertiari percuma kepada anak Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi tempatan. Tidakkah ini bakal menjadikan Sarawak destinasi menarik.
Dari sudut ekonomi, pandangan pakar ekonomi, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor cukup menarik dan ikhlas. Katanya, Sarawak bertuah kerana memiliki ketua eksekutif yang cukup impresif dan cemerlang dalam semua aspek.
“Idea berani dan inovatif beliau telah menukar Sarawak dengan pantas. Beliau tidak bersikap retorik, tetapi melaksanakan setiap yang dikata, dan sentiasa mencabar diri dan pegawainya.
“Hari ini, beliau bertindak sebagai seorang pejuang. Pejuang ekonomi hijau, dan kerana itu beliau mahu ART dilaksanakan, dan menjadikan alga sebagai sumber tenaga. Penstoran karbon pula merupakan usaha yang cukup bagus dan sesuai untuk Sarawak. Yang paling penting kata anak Negeri Sembilan ini, Abang Johari merupakan seorang pemikir dan cekap mencari duit untuk menambah kantung negeri.
“Apabila duit banyak, senang untuk beliau merealisasikan idea-ideanya. Kerana itu, pendapatan Sarawak berkembang daripada RM7 bilion pada 2021 kepada hampir RM14 bilion pada 2023. Kata Dr Shazali lagi, Abang Johari beruntung kerana beliau mewarisi pasukan yang baik dan dapat melalui episod perit dunia dengan tenang. Beliau sentiasa membuktikan kepada rakyat bahawa mereka didahulukan.
Kerana itu ujarnya, Abang Johari sanggup membayar hutang RM1 bilion Sarawak kepada Persekutuan biarpun tempohnya belum matang, bagi memastikan isu sekolah daif yang menjadi tanggungjawab Persekutuan berjaya diselesaikan, ketika Sarawak masih di blok pembangkang.
Beliau juga memastikan setiap rakyat di negeri ini tidak kelaparan dan ada makanan di atas meja ketika mengharungi episod perit COVID-19, selain memastikan setiap rakyat disuntik dengan vaksin lebih awal berbanding Semenanjung.
“Beliau juga cukup prihatin dengan rakyat Sarawak yang sukar pulang setiap musim perayaan (terutamanya pelajar) kerana isu tambang pesawat yang melangit, sehingga beliau meluluskan Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (IGPS). Tidak semua negeri memiliki inisiatif ini,” kata Abang Abdul Aziz Abang Draup, Setiausaha Politiknya.
Terdapat lebih 150 inisiatif telah dicapai oleh Abang Johari sepanjang tujuh tahun ini, dan ia dijangka akan terus diperbanyakkan pada tahun baharu ini. Sarawak yang kini berstatus negeri berpendapatan tinggi, seperti yang dinilai oleh Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB) kini berusaha mengekalkan situasi itu.
Malah pendapatan ini juga sedang dirancang untuk menyerap ke seluruh isi rumah, bagi memastikan tiada lagi kawasan di negeri ini yang dilihat sebagai miskin dan mundur.
Di tangan Abang Johari, semuanya mahu baharu. Konsep pembangunan perumahan juga dilaksanakan dalam bentuk baharu, malah diusahakan agar mereka tidak terbeban untuk memiliki rumah sendiri. Malah dengan siapnya Lebuh Raya Pan Borneo tahun depan, diikuti Jalan Pesisir dan Laluan Kedua, serta Jalan Rangkaian Sabah Sarawak, episod kemiskinan dan mundur pasti akan tamat di negeri terbesar di Malaysia ini.
Jika sungguh semua usaha ini bakal dicapai, Sarawak mungkin akan muncul sebagai Dubai di Asia Tenggara! Ia tidak mustahil. Pada usia 74 tahun, dan penggal keduanya telah melewati dua tahun, masa semakin mencemburui.
Beliau perlu pada masa yang sama mempersiapkan pewarisnya untuk meneruskan rentak larian laju yang beliau amalkan. Beliau juga perlu memastikan Sarawak terus kekal stabil dan harmoni, untuk menjadikan negeri ini terus disegani.




