ARTIKEL

gambar hiasan : Freepik.com

Jadilah orang yang berilmu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SATU kaji selidik oleh Pusat Penyelidikan Undian, UCSI University terhadap 1,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendedahkan 49 peratus responden tidak merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Lebih mengejutkan, setinggi 34 peratus daripada pelajar yang ditemu bual itu ingin menjadi pempengaruh media sosial.

Seiring dengan pesat perkembangan teknologi, media sosial juga menjadi platform terpenting bukan sahaja untuk tujuan komunikasi, malah menjana sumber pendapatan.

Ketika ini, boleh dikatakan semua individu dalam setiap peringkat usia memiliki sekurang-kurangnya satu akaun media sosial peribadi.

Namun, paling membimbangkan adalah trend terkini iaitu kebanyakan generasi muda lebih cenderung memasang cita-cita menjadi pereka kandungan berbanding melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Ini kerana media sosial ketika ini menjadi salah satu platform untuk menjana pendapatan.

Bagi mereka, pendapatan yang diperoleh oleh pereka kandungan lebih lumayan, malah tidak perlu bersusah payah menimba ilmu sehingga bertahun-tahun dan mencari pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Ini amat membimbangkan apabila baru-baru ini tular tindakan segelintir pelajar yang bangga berkongsi keputusan kurang cemerlang yang diperoleh mereka dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengundang pelbagai reaksi netizen.

Ada yang berpendapat, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan kerana mereka seolaholah bangga dengan pencapaian tidak memuaskan.

Pada masa sama, kaji selidik yang dibuat pada 31 Julai lalu oleh Jabatan Perangkaan mendapati 70 peratus atau 390,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak berminat menyambung pelajaran.

Ini isu serius yang memerlukan perhatian semua pihak supaya minat anak muda terhadap pendidikan dapat terus dipupuk. Jika dilihat komen berkaitan isu ini di media sosial, majoriti warga maya kurang senang dengan kandungan tidak berfaedah yang disajikan pencipta kandungan masa kini.

Bahkan, jika ingin menjadi seorang yang berpengaruh dan memiliki pengikut yang ramai, itu pilihan dan hak masing-masing tetapi perlu diingat bahawa, jadilah seorang yang berilmu, yang memberi impak positif kepada pengikut.

Tanggungjawab Pereka kandungan di media sosial juga perlu bertanggungjawab memastikan kandungan yang dihasilkan dapat menjadi inspirasi dan semangat semua warga maya.

Pertumbuhan ekonomi sangat berkait rapat dengan pendidikan.

Hal ini disebabkan tahap pendidikan yang tinggi membantu meningkatkan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Pelaburan dalam pendidikan juga cenderung untuk meningkatkan inovasi dan daya saing negara di pasaran global.

Modal insan yang dihasilkan melalui pendidikan adalah aset penting sesebuah negara.

Malah, kita juga maklum pendidikan membantu meningkatkan produktiviti kerana ia menambah kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja.

Sumber tenaga manusia yang terdidik boleh menarik pelaburan dan menjadi bahagian dalam ekonomi dunia, sekali gus membuka peluang ekonomi negara yang lebih baik.

Tetapi perkara ini merisaukan apabila ramai anak muda kurang berminat dengan pendidikan.

Kita sering membaca dan mendengar mengenai generasi muda di sekolah menengah dan rendah yang tidak lagi berminat mendapat pendidikan.

Mereka dilaporkan lebih berminat mencari wang tanpa melalui sistem pendidikan.

Mereka bercita-cita menjadi pempengaruh media sosial.

Hal ini perlu dirisaukan kerana ia akan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang.

Mereka perlu dimaklumkan bahawa apabila berlaku peningkatan dalam pendidikan, ia sebenarnya membuka peluang lebih besar untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Negara dengan tingkat pendidikan yang tinggi lebih cenderung untuk menjadi semakin kompetitif di pasaran antarabangsa.

Hal ini kerana kekuatan mereka adalah sumber tenaga manusia mahir dan berpengetahuan, sekali gus berkeupayaan tinggi untuk menarik pelaburan asing serta meningkatkan daya saing ekonomi negara.

Oleh itu, peranan ibu bapa dalam mendidik mentaliti anak-anak sangat penting.

Pendedahan awal oleh ibu bapa tentang gajet merupakan sebab utama mereka cenderung ingin menjadi pencipta konten, sekali gus menyemai minat anak-anak menjadi seorang pempengaruh.

Untuk menghindari hal ini, kita harus belajar kembali dan menjadikan pendidikan tradisional sebagai teladan paling mujarab untuk melahirkan sahsiah anak-anak yang baik.

BERITA LAIN

Ancaman halus dunia hiburan

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme

BERITA TERBARU