SIMANGGANG: Keprihatinan kebajikan komuniti terus dizahirkan apabila Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti (JAKKSA) mengadakan lawatan mesra ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Aman, hari ini.
Lawatan tersebut bukan sahaja membuka ruang untuk memahami operasi harian pusat berkenaan, malah turut disertai dengan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada penerima yang memerlukan.
Rombongan JAKKSA diketuai Pengerusinya, Gerald Empaling, dan disambut oleh Timbalan Setiausaha PDK Sri Aman, Annie Jong.

Menurut Gerald yang juga seorang peguam, lawatan tersebut memberi gambaran jelas keperluan sebenar PDK Sri Aman dalam memastikan pengurusan dan proses pembelajaran pelatih dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
“Hasil tinjauan mendapati pusat ini memerlukan beberapa peralatan penting seperti pencetak dan komputer riba bagi menyokong urusan pentadbiran serta aktiviti pembelajaran harian,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa walaupun sumbangan kali ini diselaraskan dalam tempoh yang singkat, pihak JAKKSA berhasrat untuk kembali dengan lebih banyak inisiatif kebajikan pada masa akan datang.

Dalam sesi lawatan itu, rombongan turut diberi penerangan jadual operasi PDK Sri Aman yang membahagikan sesi pembelajaran kepada dua kumpulan utama iaitu golongan dewasa berusia 18 hingga 26 tahun pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat, manakala sesi kanak-kanak berusia bawah 18 tahun diadakan pada Selasa dan Khamis.
PDK Sri Aman mencatat purata kehadiran 26 pelatih sehari dan mampu menampung sehingga 40 pelatih pada satu-satu masa, dengan majoritinya terdiri daripada golongan “slow learner”.
Antara tarikan utama lawatan tersebut ialah sesi meninjau bilik deria (sensory room) di bawah seliaan Droma Albert Jang yang berfungsi sebagai ruang terapi dan ketenangan untuk para pelatih.
JAKKSA berharap lebih ramai pihak tampil menghulurkan bantuan dan sokongan bagi memastikan kebajikan serta pembangunan pelatih di PDK Sri Aman terus terpelihara dan diperkasakan.






