BARU-baru ini, penulis bersama-sama rakan berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke negeri Perak.
Kami mengambil penerbangan terus dari Kuching ke Pulau Pinang.
Ketika itu, masih hangat isu kebanyakan penerbangan dibatalkan susulan letusan Gunung Ruang di Indonesia.
Alhamdulillah, penerbangan kami semuanya berjalan dengan lancar.
Kami selamat mendarat di Pulau Pinang sekitar jam 3.00 petang.
Seterusnya, dari Pulau Pinang, kami terus ke Perak dengan perjalanan yang mengambil masa selama dua jam.
Dijadikan cerita, sebelum menaiki kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, kami perlu menaiki bas dari Mukah ke Kuching,memandangkan Lapangan Terbang Mukah hanya menyediakan perkhidmatan penerbangan domestik.
Sebelum ini, perjalanan dari Mukah ke Kuching menggunakan bas memakan masa hampir 12 jam, tetapi dengan adanya Lebuh Raya Pan Borneo, masa perjalanan lebih singkat, iaitu selama lapan jam.
Bertuahnya kami tiba di negeri ini tepat dengan sambutan Tahun Melawat Perak 2024.
Jadi, di mana-mana kawasan mempunyai pelancong.
Di Taiping, yang lebih dikenali sebagai Bandar Warisan, kami disambut mesra oleh keluarga rakan.
Ibunya menyediakan pelbagai masakan berasaskan makanan laut.
Katanya, makanan laut di kawasan tersebut agak murah dan mudah didapati.
Ketika berbual-bual, mereka turut bertanyakan tentang masyarakat Melanau.
Berdasarkan perkongsian mereka, negeri kita sememangnya terkenal dengan makanan seperti kek lapis, laksa Sarawak dan mi kolok.
Tujuan utama kami ke Perak adalah untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan semasa belajar.
Di Perak, kami dapat melihat sedikit banyak perbezaan perkahwinan masyarakat di Mukah dan Perak, terutamanya dari segi adat.
Satu perkara yang kami pelajari pada majlis perkahwinannya ialah ‘salam kaut’ bermaksud sagu hati atau sedekah ikhlas berbentuk wang ringgit dihulurkan oleh tetamu kepada tuan rumah ataupun keluarga pengantin.
Di Sarawak, kita juga melakukan perkara yang sama, tetapi tidak menggelarnya sebagai salam kaut.
Selepas majlis perkahwinan selesai, kami meluangkan masa berjalan-jalan di sekitar Taiping.
Taiping sememangnya bandar warisan kerana pada tahun ini ia menyambut ulang tahun ke-150.
Bukan sahaja kaya dengan sejarah, malah mempunyai warisan tersendiri.
Antaranya Muzium Perak, Taiping yang dibina pada 1883 dan merupakan muzium pertama.
Muzium ini mempunyai empat galeri serta pameran luar, antaranya Galeri Pameran Sementara, Alam Semula Jadi, Pameran Kebudayaan, Orang Asli dan Tembikar serta Pameran Luar.
Semasa di Galeri Orang Asli dan Tembikar, penulis tertarik dengan sudut Magis dan Kepercayaan -dan menjelaskan bahawa masyarakat Orang Asli mengamalkan budaya animisme yang percaya kepada semangat makhluk halus dan roh.
Berdasarkan maklumat yang disediakan, mereka percaya bahawa dunia ini penuh dengan hantu dan syaitan yang baik dan jahat serta menganggap Tok Batin atau bomoh sebagai mempunyai kuasa untuk meminta pertolongan hantu baik bagi melawan perbuatan hantu jahat melalui kaedah pemujaan.
Selain itu, Taman Tasik Taiping juga antara yang menarik minat penulis kerana ia menjadi tumpuan ramai bukan sahaja penduduk di negeri ini, malah pelancong.
Buktinya, pada hari yang sama kami ke sana, ramai pelancong asing beriadah di kawasan tersebut.
Bukan itu sahaja, ia juga dijadikan sebagai kawasan untuk melakukan penggambaran perkahwinan, keluarga dan sebagainya disebabkan oleh keindahan deretan pokok angsana semula jadi yang ada.
Menurut satu laporan akhbar tempatan, Taman Tasik Taiping ini merupakan taman awam pertama Tanah Melayu. Ia juga kaya dengan flora dan fauna tropika.
Pada waktu malam juga, pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menghabiskan masa santai mereka di taman ini sambil menikmati suasana indah pokok angsana.
Seterusnya, kami berkesempatan ke Muzium Diraja Kuala Kangsar yang lebih dikenali sebagai ‘rumah Adabi’ oleh masyarakat di sini.
Dahulunya, ia dikenali dengan nama Istana Kenangan, Istana Lembah dan Istana Tepas.
Namun, kami tidak dapat masuk ke dalamnya kerana bukan waktu melawat dan hanya mengambil gambar di luar.
Di samping itu, kami turut berkesempatan ke Tasik Cermin, Ipoh.
Lokasinya agak tersembunyi di kawasan pergunungan dan dikelilingi gua batu kapur.
Ia diberi nama Tasik Cermin kerana keindahan alam semula jadinya yang dapat dilihat di permukaan tasik.
Terdapat banyak lagi tempat yang dikunjungi tetapi tidak dinyatakan di sini, tetapi ia tetap menjadi kenangan manis bagi penulis dan rakan kerana kita dapat melihat perkara yang tiada di kawasan sendiri, contohnya kewujudan tol.
Justeru, sebagai rakyat Sarawak, kita perlu bersyukur dengan apa-apa yang ada di negeri kita tetapi perlu melihat pembangunan di negeri lain juga, seperti kata peribahasa “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri”.



