Jalan ke Pusat Hidupan Liar Matang ditimbus tanah runtuh

KUCHING: Laluan di Jalan Kampung Rayu Melayu, yang menghubungkan Pusat Hidupan Liar Matang tidak dapat dilalui kenderaan apabila ditimbus tanah runtuh ketika ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Tiong Ling Hii berkata hujan lebat sejak awal pagi menyebabkan tanah dari bukit di tepi jalan terbabit susur sehingga menimbus jalan raya.

“Runtuhan tanah telah menghalang laluan kenderaan dari kedua-dua hala,” katanya yang dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sekitar jam 8.23 pagi dan tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya telah dikerahkan ke lokasi.

Katanya penilaian oleh anggota di lokasi mendapati masih ada pergerakan tanah di lokasi.

Tambahnya dua unit tiang kabel berhampiran lokasi turut terjejas.

Terdapat juga rumah kediaman yang berdekatan lokasi dengan anggaran jarak 80 meter dari kawasan runtuhan.

Bagaimanapun, Tiong berkata setakat ini kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada orang ramai.

Turut hadir di lokasi ialah kakitangan Sesco dan Cahya Mata Sarawak Berhad (CMS).

Tanah runtuh di Jalan Kampung Rayu Melayu, yang menghubungkan Pusat Hidupan Liar Matang.