SARIKEI: Projek jalan pesisir yang sedang dilaksanakan ketika ini merupakan pelengkap akses mobilisasi yang mampu membawa perubahan kepada pembangunan negeri dan sosioekonomi rakyat Sarawak.
Menteri Muda Jalan Persisir Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, penyediaan projek itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat.
Pada masa yang sama katanya, ia juga dilihat sebagai pelengkap kepada Projek Lebuh raya Pan Borneo yang kini sedang giat dilaksanakan bermula dari selatan negeri iaitu Lundu hingga utara Sarawak.
“Usaha untuk membina jalan raya di Sarawak berdepan banyak cabaran dan kekangan selain saiz Sarawak yang luas hampir sama besar dengan Semenanjung.
“Cabaran ini ketara apabila kita hendak membina jalan raya di kawasan pesisir yang mempunyai jenis tanah yang lembut dan tanah gambut selain perlu merentasi banyak sungai. Ini pastinya memberi kesan langsung kepada kos pelaksanaan projek ini,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Jalan Persisir Dari Jalan Pasi Ke Tanjung Manis, Mukah, Jambatan Batang Rajang hari ini.
Beliau berkata, biarpun berdepan pelbagai halangan, Kerajaan Sarawak tetap peka dengan kehendak dan keperluan rakyat Sarawak yang mengidam-idamkan jalan raya yang ‘baik dan kacak.’
Pembinaan jalan raya di kawasan pesisir katanya, amat penting kerana kawasan itu banyak kampung dan rumah panjang serta pekan-pekan pesisir seperti Lundu, Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Maludam, Pusa, Kabong, Betong, Sarikei, Daro, Tanjung Manis, Mukah, Balingian hingga ke Kuala Tatau dan Miri.
Ujarnya, saiz Sarawak luas dan cabaran dan kekangan jalan pesisir pantai Sarawak dibina secara berperingkat-peringkat malah pembinaan jalan pesisir telah mula dirancang dan
dibina sejak Rancangan Malaysia Ke-5 lagi.
“Keutamaan dan sikap ambil berat Kerajaan Sarawak ini jelas apabila kedua-dua jalan pesisir pantai dan jalan utama kedua (second trunk road) disediakan peruntukan sebanyak RM11billion oleh Kerajaan Sarawak.
“Adalah kurang tepat jika pihak tertentu kata kita baru sedar nak buat jalan padahal, lama dah kita buat pupuk-pupuk ( berperingkat- peringkat). Sarawak amat memerlukan peruntukan yang banyak bukan sahaja dari sumber kewangan Kerajaan Sarawak tetapi Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Menyentuh mengenai jalan raya Sarikei Tanjung Manis, Julaihi berkata, Jalan Pasi dari Sarikei ke Tanjung Manis ini adalah sepanjang 17 kilometer (km) termasuk Jambatan Batang Rajang sepanjang 1.2 km yang mempunyai ‘vertical clearance’setinggi 26 meter dapat mengurangkan masa perjalanan dari 2 jam setengah kepada 40 minit.
“Kos pembinaan jalan ini pula lebih RM321 juta, kos yang ditawarkan oleh kontraktor melalui tender terbuka dijadualkan siap dalam masa 4 tahun.
“Apabila siap kelak jalan ini memudahkan pergerakan penduduk di Sarikei dan Bintangor dengan Tanjung Manis, seterusnya memudahkan pengusaha membawa keluar masuk pertanian dan perikanan dan perkhidmatan dari Tanjung Manis dengan bandar utama lain seperti Sibu, Kuching, Sri Aman, Bintulu dan Miri,” katanya.
