ARTIKEL

Jambatan Aidilfitri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MENJELANG Aidilfitri minggu hadapan, beberapa jambatan baharu dijangka dibuka kepada umum. Antara yang saya pasti adalah Jambatan Sungai Krian dan Jambatan Batang Igan, yang masing-masing dijangka siap serta boleh digunakan sebelum hari raya.

Maknanya, kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan orang ramai ketika sambutan Aidilfitri.

Bagi mereka yang tinggal di bandar atau kawasan yang tidak bergantung kepada kemudahan seperti ini, mungkin timbul persoalan.

Apa kaitan antara jambatan dengann Aidilfitri? Persoalan itu mengingatkan saya kepada satu pengalaman ketika Jambatan Batang Saribas Satu hampir siap dibina suatu ketika dahulu.

Situasinya hampir sama seperti sekarang menjelang pembukaan Jambatan Sungai Krian dan Batang Igan.

Ketika itu, upacara penyambungan bahagian akhir jambatan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo yang turut dihadiri beberapa wakil rakyat setempat.

Atas rasa keterujaan saya sebagai anak jati kawasan tersebut, saya sempat bertanya.

“Datuk, jambatan ini dapat digunakan sebelum Aidilfitri?” Beliau menjawab, insya-Allah, selepas Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menyatakan komitmen untuk menyiapkan projek itu sebelum hari raya.

Namun selepas sesi sidang media berakhir, seorang wakil rakyat berseloroh. “Orang Pusa beraya dengan jambatan, Datuk,”.

Bagi saya, ungkapan itu kurang tepat. Benar, penduduk di sebelah Daerah Pusa atau kawasan sekitar tidaklah hendak beraya di atas jambatan.

Namun, penantian panjang untuk menikmati kemudahan tersebut merupakan sesuatu yang sangat bermakna bagi mereka.

Sebelum adanya feri, penduduk terpaksa menggunakan perahu atau bot untuk menyeberang sungai. Selepas itu, perkhidmatan feri pula menjadi penghubung utama selama bertahun-tahun.

Akhirnya, mereka dihadiahkan sebuah jambatan bernilai RM375.5 juta oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Siapa yang tidak teruja? Bukan kerana mahu beraya di jambatan, tetapi kerana besarnya manfaat yang dibawa oleh kemudahan tersebut.

Ia melambangkan keselesaan, kemudahan perjalanan dan penamat kepada penantian yang begitu lama. Hakikatnya, menjelang Aidilfitri, setiap orang mempunyai makna kegembiraan yang berbeza.

Ada yang menantikannya dengan pakaian baharu, juadah tradisional atau peluang berkumpul bersama-sama keluarga tercinta.

Namun bagi sebahagian masyarakat di kawasan luar bandar dan pesisir, khususnya yang selama ini bergantung kepada pengangkutan air atau feri, sebuah jambatan juga boleh menjadi “hadiah hari raya” yang amat bermakna.

Dalam erti kata lebih luas, jambatan sebenarnya mempunyai makna yang hampir sinonim dengan Aidilfitri.

Jika Aidilfitri membawa maksud merapatkan silaturahim, memohon maaf serta menghubungkan kembali hubungan yang mungkin renggang, jambatan pula secara fizikal menghubungkan dua tempat yang sebelum ini terpisah.

Kedua-duanya berkongsi satu persamaan yang jelas iaitu menghubungkan.

Aidilfitri menghubungkan hati manusia, manakala jambatan menghubungkan perjalanan manusia.

Sebab itu, apabila sebuah jambatan siap menjelang hari raya, kegembiraan yang dirasai bukan sekadar tentang kemudahan fizikal.

Ia juga melambangkan kemudahan untuk pulang ke kampung, menziarahi keluarga dan merapatkan hubungan sesama insan.

Bagi penduduk yang sekian lama bergantung kepada bot atau feri, perjalanan pulang berhari raya bukan semudah memandu terus ke destinasi.

Mereka perlu menunggu giliran di jeti feri, berdepan cuaca yang tidak menentu, malah kadangkala terpaksa menunggu lama apabila ramai yang pulang serentak menjelang Aidilfitri.

Justeru, pembukaan Jambatan Sungai Krian dan Jambatan Batang Igan sebelum Aidilfitri minggu hadapan membawa makna yang sangat besar kepada masyarakat setempat.

Dengan siapnya jambatan tersebut, perjalanan yang sebelum ini memerlukan masa lebih panjang serta bergantung kepada jadual feri kini menjadi jauh lebih mudah dan lancar.

Penduduk dapat pulang ke kampung halaman dengan lebih selesa, selamat dan cepat untuk bersama-sama keluarga menyambut hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Malah, kemudahan ini juga dijangka mengurangkan kesesakan di jeti feri yang lazimnya berlaku menjelang musim perayaan, selain memudahkan pergerakan orang ramai, peniaga dan pelancong.

Hakikatnya, pembinaan jambatan bukan sekadar projek infrastruktur semata-mata.

Ia membawa impak besar kepada kehidupan masyarakat, terutama mempercepat perhubungan, merangsang aktiviti ekonomi setempat serta membuka lebih banyak peluang pembangunan.

Sebab itu, bagi masyarakat yang menunggu bertahuntahun lamanya, siapnya sebuah jambatan menjelang Aidilfitri ibarat hadiah paling bermakna.

Bukan mereka hendak beraya di atas jambatan, tetapi jambatan itulah yang memudahkan mereka beraya bersama orang tersayang.

Dan dalam makna yang paling sederhana, jambatan juga adalah lambang penghubung, sama seperti Aidilfitri yang menghubungkan kembali hatihati manusia.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU