SIBU: Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengingatkan parti itu supaya tidak mengambil mudah pilihan raya akan datang walaupun berada dalam kedudukan kukuh hari ini.
Premier Sarawak itu menegaskan, barisan kepimpinan dan ahli parti tunjang Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkenaan tidak boleh terlalu selesa dengan kejayaan yang dikecapi kerana sikap terlalu yakin dan lupa diri boleh menjadi punca kegagalan.
Sebaliknya, beliau berkata parti itu harus sentiasa berada dalam keadaan siap siaga menghadapi pilihan raya yang disifatkannya sebagai satu “peperiksaan” yang pasti akan ditempuhi pada bila-bila masa.
“Saya tidak tahu bila pilihan raya, tetapi peperiksaan ini mesti ada. Perkara utama ialah kita harus mempersiapkan diri dan memperkukuhkan parti PBB sebagai tulang belakang GPS.
“Sebab itu, kita buat konvensyen ini sebagai memperingatkan diri. Kadang-kadang apabila kita berjaya, kita terlalu syok sendiri sehingga lupa diri. Itulah yang boleh menyebabkan kita gagal.
“PBB jangan ambil mudah. Peperiksaan akan datang ini kita mesti dapat A supaya Sarawak terus menjadi negeri contoh di Malaysia,” katanya berucap ketika merasmikan Konvensyen PBB Zon Tengah (Sibu) di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.
Pada masa sama, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS turut mengingatkan bahawa kekuatan PBB hari ini tidak semestinya berkekalan sekiranya perpaduan dalam parti gagal dipertahankan.
“PBB kita kuda-kuda kuat, pertahanlah kuda-kuda ini, bukan untuk kita tetapi untuk anak cucu kita. Hari ini kita kuat, belum tentu esok kuat.
“Jangan lupa, tiap-tiap yang baik ada orang cemburu. Akan ada fitnah dan khianat. Kalau semangat kita lemah dan dipengaruhi perkara itu, hancurlah masa depan Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, setiap pemimpin perlu berpegang kepada niat yang baik dan berlaku adil kepada semua kaum tanpa mengira latar belakang kerana keadilan menjadi asas kepada kestabilan politik dan keharmonian negeri.
“Jangan PBB pecah kerana mahu berkuasa. Pemimpin bertukar ganti, tetapi PBB mesti terus berapi. Jangan padamkan api PBB.
“Tidak kira Melayu atau Dayak menjadi pemimpin, mesti adil kepada semua dan mengambil kira kehendak masyarakat majmuk. Kalau tidak adil, Tuhan akan tarik kuasa daripada anda,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata rekod pencapaian kerajaan GPS sepanjang lima hingga enam tahun lalu merupakan jawapan terbaik kepada rakyat menjelang pilihan raya akan datang.
Menurutnya, pelbagai projek pembangunan berjaya dilaksanakan termasuk pembinaan jambatan, jalan raya, penyediaan bekalan elektrik dan air, pembangunan ekonomi baharu berasaskan hidrogen dan digital, penubuhan Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak, pendidikan tinggi percuma untuk anak Sarawak serta usaha mempertahankan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).



