KUCHING: ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, mahu kemelut banjir di Bintulu diberi perhatian dengan menggerakkan pelaksanaan projek menangani banjir pada kadar segera.
Katanya, trauma terhadap insiden banjir besar awal tahun ini sekali gus mendatangkan keresahan rakyat, lebih-lebih lagi kini menjelang musim Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga Mac 2026.
Justeru, beliau mempersoalkan perkara yang sedang dilaksanakan untuk memastikan insiden sama tidak berulang dengan keadaan cuaca kini yang memungkinkan insiden sama berpotensi berulang.
“Kini, kita kembali berada dalam Monsun Timur Laut yang dijangka membawa hujan lebat berterusan ke Sarawak sehingga Mac 2026.
“Saya sendiri melihat dan merasai keresahan, kebimbangan serta ketidakselesaan rakyat Bintulu setiap kali hujan lebat turun, dan ini menunjukkan betapa traumanya kami selepas kejadian banjir besar awal tahun ini.
“Maka saya bertanya, apakah sebenarnya telah dilakukan untuk menangani isu banjir ini? Pelan yang dibincangkan, adakah sudah diputuskan? Sudahkah dilaksanakan atau kita masih merancang, merancang dan terus merancang?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2026 dalam persidangan DUN Sarawak Ke-19, hari ini.
Menurutnya, antara yang menjadi persoalan adalah status projek pemulihan muara Sungai Batang Kemena bernilai RM51.5 juta oleh Kerajaan Persekutuan.
“Secara khusus, kita mahu mengetahui status terkini kerja mendalamkan Sungai Sibiew. Pedalaman dan pelebaran sungai ini telah dicadangkan hampir lima tahun, namun sehingga kini belum nampak sebarang kemajuan di lapangan,” katanya.
Sementara bagi projek menangani banjir kilat oleh Kerajaan Sarawak, beliau mendedahkan 10 daripada 13 projek telah siap dijalankan.
Dalam perkembangan berlainan, Johnny Pang memohon agar manfaat Kenyalang Gold Card atau Faedah Kesihatan Warga Emas diperluas dengan perkhidmatan kesihatan yang lebih relevan.
Katanya, antara inisiatif yang boleh diberikan termasuk fisioterapi dan pemulihan, selain pembelian suplemen kesihatan.
“Bagi fisioterapi dan pemulihan, bantuan ini akan memberi impak besar kepada kualiti hidup, sementara pembelian suplemen akan memastikan kekuatan tulang dan kesihatan secara keseluruhan.
“Kami percaya peluasan manfaat ini akan menjadikan program KGC dan SCHB lebih inklusif dan benar-benar dirasai oleh rakyat,” ujarnya.



