BINTULU: Kesibukan mengejar tuntutan kerja dan kebergantungan kepada teknologi digital tidak seharusnya menyebabkan masyarakat mengabaikan kepentingan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Majang Renggi berkata, keseimbangan antara tanggungjawab pekerjaan dengan kehidupan berkeluarga amat penting bagi memastikan hubungan kekeluargaan terus terpelihara dan tidak semakin renggang akibat kesibukan rutin harian.
Menurutnya, perkembangan teknologi dan penggunaan telefon pintar yang semakin meluas turut mengubah corak kehidupan masyarakat sehingga masa untuk berinteraksi secara langsung bersama ahli keluarga kadangkala semakin terbatas.
Katanya, keadaan itu menjadikan program berteraskan kekeluargaan dan kemasyarakatan semakin penting sebagai ruang untuk masyarakat berehat seketika daripada kesibukan harian, selain mengeratkan hubungan sesama keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga.
“Kadangkala kita terlalu sibuk dengan urusan masing-masing sehingga masa bersama keluarga semakin berkurangan.

“Sebab itulah program seperti ini amat penting kerana memberikan peluang kepada kita untuk berhenti seketika daripada rutin harian, mengetepikan urusan kerja dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga serta masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Mini Karnival Koperasi Kariah Masjid Al-Mustaqim Bintulu Berhad di perkarangan parkir kenderaan Masjid Al-Mustaqim RPR Kidurong, di sini, pada Ahad.
Majang berkata, aktiviti santai seperti sukaneka dan sukan rakyat bukan sekadar bertujuan menghiburkan peserta, malah memberi peluang kepada ibu bapa dan anak-anak mencipta kenangan bersama dalam suasana lebih mesra dan santai.
Menurutnya, pengalaman menyertai aktiviti bersama keluarga mampu meninggalkan kesan positif, khususnya kepada anak-anak yang akan mengingati detik kebersamaan itu sebagai sebahagian daripada pengalaman membesar.
Beliau berkata, hubungan kekeluargaan tidak boleh dibina hanya melalui kehidupan di bawah satu bumbung, sebaliknya memerlukan perhatian, komunikasi dan masa yang berkualiti antara setiap anggota keluarga.
“Hubungan kekeluargaan dan persahabatan tidak akan menjadi erat dengan sendirinya. Ia perlu dibina, dipupuk dan dipelihara melalui masa, perhatian serta kebersamaan,” tambahnya.
Beliau berkata, penganjuran program seperti mini karnival berkenaan turut menyediakan ruang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk berinteraksi, saling mengenali dan mengukuhkan hubungan silaturahim.
Tegasnya, pertemuan dalam suasana santai seperti itu mampu membina persefahaman serta memupuk sikap saling menghormati, sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih harmoni dan bersatu padu.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya tidak hanya menumpukan perhatian kepada urusan keluarga sendiri, tetapi sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan jiran tetangga dan komuniti setempat.
Menurutnya, semangat kejiranan perlu terus dipelihara dengan menjadikan sikap prihatin, saling membantu dan bekerjasama sebagai amalan dalam kehidupan bermasyarakat.
“Jangan hanya mengenali jiran ketika menghadiri program atau majlis tertentu, tetapi jadilah jiran yang sentiasa prihatin dan bersedia menghulurkan bantuan apabila diperlukan.
“Komuniti yang kuat bermula daripada keluarga yang harmoni, kejiranan yang prihatin dan masyarakat yang sentiasa bersatu hati,” ujarnya.
Beliau berharap program kemasyarakatan seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penyertaan yang lebih menyeluruh daripada penduduk setempat bagi memastikan hubungan kekeluargaan dan perpaduan komuniti terus diperkukuh.






