ARTIKEL

Jangan jadikan isu gelandangan medan permainan politik – Fatimah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dalam menangani isu gelandangan, khususnya yang ada masalah kesihatan mental, keutamaan adalah penyelesaian bersepadu dan berfokus kepada kebajikan mereka. Jangan sesekali menuding jari atau menjadikan isu ini sebagai medan permainan politik.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah, menegaskan semua pihak perlu fokus menyelesaikan kes wanita gelandangan berusia 50 tahun di Kenyalang Park tanpa saling menyalahkan.

“Wanita tersebut menghadapi masalah kesihatan mental serta ketagihan alkohol. Lebih menyedihkan, beliau mempunyai seorang anak lelaki yang menghidap Sindrom Down dan kehilangan suami pada tahun lepas.

“Kes ini bukanlah perkara baru, sebaliknya merupakan kes berulang yang sudah dikenal pasti dan dalam pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kami sudah lama mempunyai profil lengkap mengenai beliau dan telah berusaha sedaya upaya menangani masalah ini,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melepaskan 2,300 peserta SOPMA Baton Run di Perkarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, hari ini.

Wanita berkenaan pernah mendapat rawatan kesihatan mental di Hospital Sentosa serta dibekalkan ubat-ubatan yang diperlukan.

“Namun, kekangan kapasiti hospital yang menerima ramai pesakit menyebabkan rawatan jangka panjang sukar dilaksanakan.

“Hospital Sentosa hanya dapat memberi rawatan sementara dan pesakit akan dihantar pulang apabila keadaan sudah stabil,” tambahnya.

Beliau juga memaklumkan wanita itu pernah menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak pada tahun 2024 dan dimasukkan sekali lagi pada awal tahun 2025 kerana keadaan kesihatan mental yang semakin memburuk.

“Selain itu, beliau mempunyai tempat tinggal di MJC tetapi kini tempat tersebut disewakan untuk menampung perbelanjaan anak OKU.

“Ini menunjukkan ketidakstabilan tempat tinggalnya yang turut menyumbang kepada masalah beliau,” ujarnya.

Mengenai penempatan di institusi kebajikan, menteri itu menegaskan wanita tersebut tidak layak ditempatkan di Rumah Seri Kenangan kerana ia dikhususkan untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas tanpa masalah kesihatan mental.

“Rumah Seri Kenangan tidak mempunyai kepakaran untuk menangani masalah mental dan penyakit berjangkit yang boleh menular.

“Oleh itu, penempatan yang sesuai harus dipertimbangkan dengan teliti,” katanya.

Beliau juga mengesahkan JKM telah berhubung dengan waris terdekat, termasuk seorang abang yang tinggal di Kuala Lumpur, yang membantu menguruskan anaknya yang kini berada di pusat jagaan Persatuan Kasih Sayang di Kuching.

“Usaha sedang dilakukan untuk memindahkan wanita ini ke tempat yang lebih sesuai supaya beliau mendapat sokongan yang sewajarnya, terutamanya rawatan berterusan untuk masalah kesihatan mental dan ketagihan alkohol.

“Kita sedar bahawa isu gelandangan yang mempunyai masalah kesihatan mental memerlukan pendekatan holistik. Oleh itu, kami bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, pihak berkuasa tempatan serta NGO bagi menyediakan pusat transit dan rawatan yang komprehensif,” katanya.

Menurut beliau, tempat transit gelandangan (TTG) di Kuching dijangka beroperasi tidak lama lagi dan kini hanya menunggu lantikan NGO untuk menguruskan pusat tersebut.

“Selain itu, TTG di Sibu dan Bintulu sudah beroperasi atau dalam proses pembinaan dengan sokongan kerajaan dan NGO yang akan mengendalikan pusat-pusat ini,” jelasnya.

“Kami juga merancang agar pusat transit dan rawatan untuk gelandangan yang mempunyai masalah kesihatan mental dapat diwujudkan dengan kepakaran pakar psikiatri supaya mereka mendapat rawatan sewajarnya,” tambahnya.

BERITA LAIN

Sharifah Nong-Jasima bangkit genggam ijazah

PERJALANAN menuntut ilmu yang bermula pada 2018 akhirnya membawa Sharifah Nong-Jasima Syed Junaidi ke pentas konvokesyen lapan tahun kemudian, namun di sebalik kegembiraan menggenggam sulung

BERITA TERBARU

E-Sukan dapat sambutan

BINTULU: Kejohanan E-Sukan sempena Kejohanan Muaythai Piala Premier Sarawak Edisi Ke-10 2026 yang berlangsung hari ini (18 Oktober) berlangsung dengan jayanya dan penuh kemeriahan. Temasya

Perang provokasi netizen

PERSaingan bola sepak antara Malaysia dengan Indonesia sekali lagi mencetuskan bahang di luar padang apabila keputusan dramatik pada penghujung peringkat kumpulan Piala ASEAN FIFA 2026