ARTIKEL

Jangan lakukan vandalisme

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BULAN lalu, beberapa pili bomba di Sibu dilaporkan rosak serta tidak boleh digunakan lagi disebabkan perbuatan vandalisme.

Pili bomba yang rosak itu di hadapan Poliklinik Jalan Oya, Taman Rejang, Jalan Punai dan Jalan Oya.

Masalah ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling Chai Yew yang menyifatkan perkara itu berlaku disebabkan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral.

Justeru katanya, mereka ini perlu diambil tindakan undang-undang berat supaya mereka faham bahawa apa-apa yang dilakukan adalah sama dengan memusnahkan nyawa dan harta benda.

Dalam hal ini, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral, Suha Kaha turut mengakui banyak pili bomba di kawasan bandar ini telah dirosakkan.

Dedahnya, berlaku peningkatan perbuatan vandalisme yang merosakkan pili bomba iaitu mencuri tembaganya.

Beliau percaya tembaga daripada pili bomba boleh menjadi faktor yang mendorong individu tidak bertanggungjawab menyasarkan benda tersebut untuk dijual.

Kos membaiki setiap pili bomba adalah dalam lingkungan RM1,000 hingga RM4,800 bagi kerosakan penuh. Jadi Jabatan Bomba dan Penyelamat memerlukan kos besar untuk tujuan membaiki dan menyelenggara pili bomba yang rosak akibat gejala laku musnah dan kecurian.

Oleh itu, tahukah anda apa itu vandalisme?

Menurut Kamus Dewan, vandalisme ialah perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian.

Vandalisme bukanlah perkara baharu bahkan dianggap sebagai gejala yang sukar dibendung.

Vandalisme juga sering dikaitkan dengan remaja, hakikatnya perbuatan tidak sihat itu boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan latar belakang.

Mengambil contoh pili bomba yang rosak di Sibu baru-baru ini, setakat ini tiada orang tampil bertanggungjawab.

Buktinya pada bulan Ogos sahaja, sebanyak 16 pili bomba didapati dirosakkan.

Nah, ini baru kes vandalisme membabitkan pili bomba, harta benda awam yang lain bagaimana pula?

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi pernah menyuarakan kebimbangannya bahawa memang sukar mengatasi gejala vandalisme dengan sepenuhnya.

Kementeriannya mendapati vandalisme terhadap infrastruktur utiliti negeri semakin menjadi-jadi.

Akibat perbuatan vandalisme, negeri kerugian berjuta-juta ringgit.

Julaihi mendedahkan, vandalisme kepada infrastruktur utiliti seperti bekalan air, elektrik serta komunikasi merupakan antara cabaran besar dihadapi kementeriannya sejak beberapa tahun ini.

Dalam satu kes, mereka mendapati menara komunikasi yang belum beroperasi dan baru sahaja dipasang bahagian tembaganya sudah kena potong dan dicuri.

Berdasarkan senario ini, apa yang harus kita lakukan untuk membantu membanteras vandalisme?

Memberi hukuman lebih berat kepada si pelaku? Atau melipatgandakan usaha mendidik anak-anak muda bermula peringkat prasekolah?

Yang pasti terdapat banyak faktor terjadinya masalah vandalisme dalam kalangan masyarakat.

Antaranya mencuri harta benda awam disebabkan oleh kesempitan hidup bagi mendapatkan wang.

Ada juga mencuri untuk kegunaan mereka di rumah.

Selain itu, melakukan vandalisme untuk berseronok dan ingin melakukan sabotaj terhadap kerajaan.

Walau apa-apa pun alasannya, merosak atau mencuri harta benda awam melanggar undangundang.

Seperti kata peribahasa kerana setitik nila, rosak susu sebelanga.

Contohnya, pili bomba rosak bukan sahaja menyukarkan anggota bomba menjalankan kerja-kerja memadam serta mengawal kebakaran bahkan boleh mendatangkan kerugian besar.

Lantaran itu, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye pernah mencadangkan kepada kerajaan untuk melaksanakan hukuman khidmat masyarakat kepada mereka yang melakukan perbuatan vandalisme bagi menimbulkan rasa malu dan takut dalam kalangan pelaku.

Hujahnya, penguatkuasaan hukuman itu dilihat sebagai cara yang lebih berkesan berbanding hukuman lain terutama kompaun dan denda.

Menurut Lee, undang-undang kecil berkaitan vandalisme yang dikuatkuasakan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan tidak mencukupi dan efektif bagi menangani masalah itu. Yang dicadangkan oleh aktivis masyarakat ini memang wajar dipertimbangkan oleh pihak berkenaan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pada Februari lalu juga mencadangkan hukuman berbentuk khidmat masyarakat diberikan kepada sekumpulan pelajar yang yang terlibat dalam aktiviti vandalisme di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Pulau Pinang.

Memetik Pegawai Pendidikan CAP, N. V. Subbarow, hukuman itu dapat memberikan pengajaran kepada pelaku supaya tidak mengulangi perbuatan terbabit.

CAP berpandangan satu-satunya cara untuk memperbetulkan situasi ini adalah melalui hukuman khidmat masyarakat.

Kesimpulannya, kesan vandalisme tidak harus dipandang enteng.

Perbuatan tidak bertanggungjawab ini telah menyebabkan pihak awam dan swasta terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk membaiki dan menggantikan kemudahkan yang dirosakkan.

Kemudahan diberikan oleh kerajaan kepada rakyat untuk kegunaan bersama, bukan untuk dirosakkan!

LAIN-LAIN BERITA

Sarawak tumpuan biologi dunia

SARAWAK kaya dengan kepelbagaian biologi hutan yang unik sehingga dikenali sebagai salah satu titik utama biologi dunia. Ia juga penyumbang tertinggi kepada liputan hutan di

Tempat paling mahal didiami

KOS sara hidup berbeza daripada satu negara ke negara lain. Beberapa negara, kos sara hidupnya jauh lebih mahal daripada yang lain. Di bahagian tempat tinggal

Demi bekalan air bersih

PELBAGAI usaha kini sedang giat dilaksanakan untuk memastikan seluruh rakyat menikmati bekalan air bersih sekali gus menampung keperluan yang kian bertambah selain menyedari kepentingannya dalam konteks

Sistem cukai di seluruh dunia

SISTEM cukai berbeza-beza secara meluas di seluruh dunia, mencerminkan kepelbagaian landskap ekonomi, sosial dan politik negara. Walaupun terdapat banyak variasi, sistem cukai biasanya mempunyai dua

Masa cipta kenangan terindah

BEMULA 9 Februari lalu, cuti akhir tahun bagi penggal persekolahan 2023/2024 bermula dan berakhir pada 9 Mac. Cuti sekolah menandakan masa berharga untuk pelajar berehat

Banjir kilat undang trauma

SEJAK kebelakangan ini banjir kilat yang berlaku terutama di kawasan bandar dan perumahan dilihat menunjukkan peningkatan lebih-lebih lagi ketika hujan lebat berterusan melanda sejak beberapa

BERITA TERBARU

IPD Kuching akan perkenal platform e-aduan

KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching akan memperkenalkan platform e-aduan untuk memudahkan masyarakat menyampaikan aduan jenayah secara dalam talian kepada pihaknya. Ketua Polis Daerah