Jangan nodai kebebasan bersuara

BARU-BARU ini, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengeluarkan kenyataan berhubung mempertahan hak menghina agama berikutan seorang guru dibunuh akibat menyiarkan karikatur Nabi Muhammad SAW.

Kenyataan Macron itu menyebabkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia dan beberapa kempen boikot barangan Perancis di beberapa negara Islam.

Menurut Presiden Iran, Hassan Rouhani, tindakan Macron boleh mencetuskan pertumpahan darah lebih dahsyat.

“Menghina Nabi SAW bukan sahaja tindakan tidak bermoral, malah menggalakkan aktiviti keganasan terus berlaku,” ujar Rouhani.

Bagi memahami isu Perancis membenarkan penghinaan kepada agama Islam, kita perlu faham asas kepada penubuhan Republik Perancis.

Untuk pengetahuan semua, Perancis mempunyai ideologi yang menjadi pegangan dan dasar negara itu yang dinamakan Laicite.

Presiden Perancis Emmanuel Macron – Foto AFP

Fahaman ini dibentuk ketika Revolusi Perancis tercetus pada 1789 hingga 1799. Cuma undang-undang Laicite terbentuk ketika zaman Republik Ketiga Perancis.

Undang-undang ini membenarkan penghinaan kepada manamana agama termasuk Islam, Kristian dan Yahudi.

Perancis pada ketika itu tidak mahu terlalu bergantung kepada Vatican dan mahukan fahaman sekularisme terus berkembang di negara itu.

Jadi, tidak menghairankan Perancis mahukan segala undang-undang berkaitan dengan agama termasuk budaya dihapuskan.

Undang-undang Laicite juga berasal daripada Kultus Revolusi  Perancis yang dikenali sebagai Cult of Supreme Being yang mahu posisi agama Katolik digantikan dengan agama revolusi baharu.

Kultus ini yang diasaskan oleh Maximilien Robespierre mengajar penganutnya, Tuhan yang satu bertentangan dengan ajaran Katolik.

Kembali kepada undang-undang Laicite, mereka membenarkan segala bangunan berkaitan dengan agama termasuk Yahudi dan Islam dimiliki oleh kerajaan.

Undang-undang Laicite di Perancis juga membenarkan hijab dan serban termasuk Sikh turut diharamkan pada 2004.

Jadi, jangan terkejut Perancis begitu anti kepada mana-mana agama kerana ideologi Laicite itu menjadi teras kepada negara Perancis.

Malah, fahaman sekularisme mereka jauh lebih ekstrem daripada sekularisme Ataturk. Ketika Khalifah Uthmaniyyah masih berdiri, Sultan Abdul Hamid II pernah mengancam Perancis untuk berperang sekiranya tidak membatalkan teater Nabi Muhammad SAW.

Kenyataan Sultan Abdul Hamid II menegaskan baginda adalah Khalifah Umat Islam yang akan menghancurkan kota Paris jika teater itu tidak dihentikan.

Jangan jadikan alasan kebebasan bersuara untuk ‘menodai’ atau menyerang mana-mana agama kerana penghinaan bukan melambangkan ketinggian moral manusia tetapi keruntuhan peradaban tamadun manusia sejagat.

Jadilah masyarakat yang saling menyayangi, tanpa mengira bangsa, agama, pangkat dan darjat, kerana ia jauh lebih mulia

Suara Sarawak