ARTIKEL

BESAR... Wan Alwi menunjukkan mata kail untuk menangkap buaya.

Jangan percaya mitos buaya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Di mana ada buaya, di situ ada udang, bukan-nya di mana ada udang, di situ ada buaya. Bunyinya seakan-akan sama, namun maksudnya jauh berbeza.

Pakar pemburu buaya yang juga pengasas syarikat pemburuan buaya terkenal, Sarawak Crocter, Francis Chai Kian Jiew, menjelaskan ayat pertama, iaitu “di mana ada buaya, di situ ada udang” lebih sesuai digunakan bagi merujuk spesies reptilia yang sememangnya menjadi tumpuan di Sungai Sarawak.

“Sebenarnya, habitat buaya ini lebih gemar memburu ikan berbanding udang.

“Jika kita lihat di sungai-sungai di Sarawak, rata-rata sarang mahupun tempat tinggal buaya mempunyai banyak udang yang berkumpul.

“Udang menunggu sisa-sisa makanan buruan buaya untuk dimakan. Selain itu, habitat udang ini akan membersihkan sisa-sisa makanan yang terdapat pada badan mahupun di celah gigi buaya terbabit.

“Bagi saya, maksud ‘di mana ada buaya, di situ ada udang’ adalah merujuk perkara tersebut.

“Sebaliknya, ‘di mana ada udang, di situ ada buaya’ kurang tepat memandangkan buaya tidak begitu gemar memburu udang, kecuali apabila bekalan makanan benar-benar habis atau terlalu berkurangan,” katanya kepada Suara Sarawak, baru-baru ini.

Perkara itu sekali gus menjadi peringatan kepada masyarakat serta penduduk, khususnya mereka yang mendiami kawasan tepi sungai, termasuk golongan maritim mahupun pemancing yang gemar turun ke sungai.

Menurut Francis, keberadaan reptilia itu tidak dapat dikenal pasti menerusi habitat udang, berdasarkan pengalamannya berkecimpung dalam bidang tersebut sejak 10 tahun lalu.

“Kalau kamu mengatakan buaya boleh didapati di kawasan yang mempunyai banyak udang, di hulu sungai juga terdapat udang, tetapi jarang kita dapat melihat buaya di kawasan tersebut.

“Kita tidak boleh menetapkannya seperti itu. Namun, yang pasti, janganlah kita leka atau bersikap sambil lewa ketika berada di kawasan sungai, terutama di lokasi yang sememangnya berisiko tinggi,” katanya.

COMEL. Francis (kanan) bersama-sama Wan Alwi (kiri) melihat keadaan anak buaya.

Jelas Francis, mempercayai kata-kata tersebut hanya akan membawa padah memandangkan buaya sebenarnya tidak bersikap sedemikian.

Beliau pada masa sama mendedahkan, masih ramai masyarakat, khususnya penduduk kampung yang menetap di kawasan pinggir sungai, mempercayai kepercayaan karut sedemikian.

Beliau turut meminta masyarakat tidak mempercayai amalan yang lebih dikenali sebagai ‘pantang larang …

“iaitu jika kita tidak mengganggu buaya, buaya tidak akan mengganggu kita”.

“Saya masih lagi menjumpai mereka yang benar-benar percaya bahawa sekiranya kita tidak mengganggu buaya itu, ia tidak akan mengganggu kita.

“Itu hanyalah karut semata-mata. Seekor buaya tidak mengganggu kamu ketika kamu berada berdekatan hanya disebabkan dua perkara; pertama, ia dalam keadaan kenyang dan kedua, ajal kamu belum tertulis oleh Tuhan, maka ia tidak mengganggu kamu.

“Jangan kerana terlalu mengikut kata-kata seperti itu, masyarakat atau kita sendiri menjadi mangsa serangan reptilia tersebut.

“Perkara inilah yang menyebabkan orang ramai tidak mengamalkan sikap berhati-hati kerana mereka percaya jika tidak mengganggu reptilia itu, mereka boleh melakukan apa-apa sahaja di sungai tanpa mengendahkan bahaya yang menunggu.

“Akhirnya, mereka sendiri yang perlu menanggung akibatnya,” katanya lagi.

Turut menyatakan perkara sama, salah seorang petugas Sarawak Crocter, Wan Alwi Wan Ibrahim.

Menurutnya, perkara itu sebenarnya menjadi salah satu permasalahan, terutama di kawasan sungai yang mempunyai buaya dalam kuantiti yang banyak.

Berkongsi tentang kerjayanya sepanjang menerajui Sarawak Crocter, Francis memberitahu, beliau bergerak secara aktif dalam tempoh kira-kira tujuh tahun.

Katanya, pihaknya beroperasi secara sah dengan memperoleh lesen di samping mendapat kerjasama baik daripada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

Antara rekod terbesar buaya yang pernah ditangkap ialah sepanjang 18 kaki dengan menggunakan perangkap tanpa senjata api.

“Saya berkecimpung dalam bidang menangkap buaya ini selama hampir 10 tahun dan memperoleh lesen sah pada 2017,” katanya.

Biarpun boleh dikatakan sudah berpengalaman luas dalam bidang tersebut, Francis mendedahkan beliau dan pasukannya tidak terlepas daripada risiko bahaya ketika bertugas menangkap reptilia itu.

“Antara pengalaman yang pernah berlaku ialah salah seorang petugas kami pernah diserang. Nasib baik dia sempat mengelak dan hanya mengalami kecederaan yang tidak terlalu serius.

“Ibarat hari-hari menangkap ayam, kadang-kadang tercakar juga. Dia bernasib baik kerana tidak sempat ditarik ke dalam air,” katanya.

Sementara itu, Francis mendedahkan, tindakan membuang sampah ke dalam sungai turut mempengaruhi habitat buaya untuk lebih mudah berkeliaran di kawasan perairan yang berdekatan dengan kediaman penduduk.

Katanya, tabiat itu secara tidak langsung menyebabkan buaya menganggap buangan tersebut sebagai sumber makanan, hingga lama-kelamaan menjadikan reptilia itu memasuki kawasan kediaman penduduk di pinggir sungai.

Begitu juga dengan sesetengah penduduk yang memberi makanan kepada reptilia itu. Beliau menyifatkan perbuatan tersebut menjadikan buaya semakin berani mendekati manusia.

“Kita pernah berdepan kes apabila terdapat buaya yang diberi makan. Namun, setelah semakin membesar, ia menjadi ganas sehingga penduduk mengadu kepada kami agar reptilia itu ditangkap.

“Sebaliknya, usaha membendung perkara ini perlu ada dalam diri masyarakat. Bukan kita tidak berniat baik, namun kesannya berisiko tinggi kepada masyarakat setempat.

“Justeru, saya mencadangkan agar ketua kampung turut mengambil maklum perkara ini dengan teliti,” katanya.

Kesimpulannya, pemahaman tepat tentang tabiat buaya serta sikap berhati-hati masyarakat penting bagi mengelakkan risiko bahaya, sekali gus menepis kepercayaan karut yang boleh mengundang padah.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU