KUALA LUMPUR: Marcos Guilherme muncul wira Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila menjaringkan dua gol untuk membantu pasukannya menewaskan wakil Korea Selatan, Pohang Steelers 2-0 dalam aksi Zon Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) 2026/2027 di Stadium Pohang Steel Yard, Korea Selatan, semalam.
Skuad kendalian Xisco Muñoz yang mempamerkan aksi bertenaga sejak awal permainan hampir memecah kebuntuan pada minit ke-16 menerusi rembatan Shahab Zahedi, namun bola sekadar menggegar tiang gol tuan rumah.
JDT memperoleh kelebihan selepas kapten Pohang, Min-kwang Jeon dilayangkan kad merah pada minit ke-43, namun percubaan sepakan percuma daripada Arif Aiman Mohd Hanapi gagal memecah kebuntuan sehingga tamat babak pertama seperti dilapor Bernama.
Guilherme akhirnya meletakkan JDT di hadapan empat minit selepas babak kedua bersambung menerusi rembatan kaki kiri hasil hantaran Shahab Zahedi, sebelum beliau sekali lagi mencetak gol pada minit ke-89 dengan menyambar bola muntah hasil percubaan Bergson da Silva.
Kemenangan 2-0 itu memberikan JDT tiga mata berharga untuk menduduki tangga kelima carta Zon Timur, sekali gus memperbaiki kedudukan selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Buriram United pada perlawanan pembukaan 15 September lalu.






