ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka kempen Liga Super 2026-2027 dengan kemenangan 3-0 ke atas Kuching City FC (KCFC) dalam Perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan JDT mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah serta memperoleh tiga mata dalam aksi pembukaan musim.

Marcos Guilherme membuka jaringan pada minit ke-11 hasil hantaran Bergson da Silva sebelum Oscar Arribas menggandakan kelebihan pada minit ke-55 menerusi rembatan kencang.
Shahab Zahedi melengkapkan kemenangan JDT pada minit ke-86 selepas menyudahkan bola muntah daripada percubaan sebelumnya, dengan keputusan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan di hadapan 32,372 penyokong.
Kejayaan itu turut menyaksikan JDT mencatat 109 perlawanan liga tanpa kalah berturut-turut sejak 2021, mengatasi rekod 108 perlawanan milik ASEC Mimosas dari Ivory Coast yang dicatat antara 1989 hingga 1994 seperti dilapor Bernama.



