Tajuk: Tun Ahmad Zaidi: Son of Sarawak (Anak Watan Sarawak)
Penulis: James Ritchie
Penerbit: Pelanduk Publication
Jumlah halaman: 244 muka surat
HARI ini, masyarakat hanya mengenali Tun Ahmad Zaidi melalui namanya yang diabadikan pada kolej kediaman universiti, jalan raya dan sekolah.
Namun begitu, kisah hidupnya jarang sekali diangkat, apatah lagi diceritakan kepada generasi muda masa kini.
Apatah lagi bagi generasi Y, Z mahupun Alpha; mendengar nama Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelima itu pun sudah kedengaran asing, apatah lagi untuk memahami perjuangannya sebagai nasionalis dan pendidik yang menongkah arus penjajahan Koloni British.
Tidak ramai yang mengetahui kisah beliau, tentang kehidupan yang dilaluinya sejak kecil sehinggalah menghembuskan nafas terakhir pada 5 Disember 2000.
Keadaan ini ditambah lagi dengan kekurangan bahan, sama ada dalam bentuk cetak mahupun digital, yang menceritakan latar kehidupannya.
Berdasarkan pemahaman saya, terdapat dua buah buku biografi utama mengenai Tun Ahmad Zaidi. Satu ditulis oleh sejarahwan Datuk Sanib Said berjudul Yang Dikehendaki: Biografi Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Datuk Patinggi Haji Ahmad Zaidi Adruce Mohd Noor, dan satu lagi oleh mendiang wartawan veteran James Ritchie yang bertajuk Tun Ahmad Zaidi: Son of Sarawak (Anak Watan Sarawak) yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
Saya berpeluang membaca buku tulisan James Ritchie yang diterbitkan oleh Pelanduk Publication pada 2000.
Buku ini mengandungi 244 muka surat dan disusun secara naratif, lengkap dengan gambar, dokumen sejarah serta wawancara mendalam bersama tokoh itu sendiri.
Ia mengisahkan perjalanan hidup Tun Ahmad Zaidi dari kecil sehinggalah beliau mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri.
Pengisiannya bukan sekadar himpunan fakta, tetapi turut menjalin sisi peribadi beliau yang tidak banyak diketahui umum.
Apa yang menarik, buku ini membuka naratif tentang kelahiran Tun Ahmad Zaidi di atas sebuah bot di Sungai Rajang pada 29 Mac 1929.
Dilahirkan dalam suasana sederhana, beliau kemudiannya dibesarkan oleh keluarga angkat Sharifah Mai Sharif Masahor, iaitu keturunan pejuang terkenal Sarawak, Sharif Masahor.
Di sinilah semangat patriotisme mula tumbuh dalam dirinya.
Buku ini turut merakamkan pendidikan awal beliau di Sekolah Chung Hua, Sibu sebelum ke Sekolah Abang Ali. Sejak kecil, beliau cemerlang dalam pelajaran dan seni sastera.
Beliau kemudian menyambung pelajaran ke St. Thomas, Kuching dan AngloChinese School di Singapura.
Kecemerlangannya melayakkan beliau memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, sebuah institusi yang melahirkan ramai tokoh perjuangan di Tanah Melayu.
Namun, Perang Dunia Kedua mengganggu pengajiannya. Beliau melarikan diri ke Singapura dan kemudiannya menyambung pelajaran dalam bidang veterinar di Institut Pertanian Bogor, Indonesia.
Di sinilah beliau terdedah kepada semangat nasionalisme Indonesia yang sedang bangkit menentang penjajahan Belanda.
Buku ini mengimbas kembali pelibatan beliau sebagai guru di Maktab Perguruan Batu Lintang, pelopor kepada pergerakan Pengakap Laut dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom termasuk ke Robert Gordon Technical College, University of Edinburgh dan University of London.
Pencapaian akademiknya sangat mengagumkan, antara bumiputera Sarawak terawal yang berjaya meraih ijazah sarjana dalam bidang Ekonomi Politik.
Namun, bahagian paling menyentuh dalam buku ini ialah kisah bagaimana Tun Ahmad Zaidi terpaksa melarikan diri ke Indonesia kerana dituduh sebagai ancaman oleh kerajaan kolonial British.
Ketika itu beliau aktif dalam Barisan Pemuda Sarawak yang lantang memperjuangkan kemerdekaan.
Beliau hanya dibenarkan pulang selepas menerima pengampunan pada 1969.
Pada 1985, Tun Ahmad Zaidi dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri dan kekal memegang jawatan itu selama 15 tahun, iaitu tempoh terpanjang dalam sejarah Sarawak.
Buku ini mengakhiri naratif dengan menyentuh sisi peribadi beliau sebagai suami dan bapa kepada 12 orang anak.
Secara keseluruhan, Tun Ahmad Zaidi: Son of Sarawak ialah karya penting untuk memahami bukan sahaja seorang tokoh, tetapi juga sejarah politik, pendidikan dan nasionalisme Sarawak.
Ia sepatutnya menjadi bahan bacaan wajib bagi generasi muda yang ingin mengenal pejuang sebenar dari bumi sendiri.
Bukan sahaja pejuang yang menuntut kemerdekaan, kesungguhan dan kecekalan beliau dalam menuntut ilmu juga harus dijadikan ikutan oleh rakyat Sarawak pada hari ini, khususnya golongan muda, apatah lagi Kerajaan Sarawak memberikan pelbagai peluang kepada anak negeri ini menerusi pelbagai inisiatif.
Buku ini bukan sekadar biografi , tetapi sebuah warisan yang wajar dihayati.
Ambil peluang untuk membaca buku ini jika berkesempatan.



