TRAVELOG saya kali ini membawa pembaca menelusuri kisah sejarah yang kian dilupakan oleh anak muda, yang saya temui secara tidak sengaja di sebuah ceruk sepi, meskipun sarat dengan kehidupan harian.
Ceruk yang saya maksudkan itu berada di Indonesia atau lebih tepat lagi di Bandung, sebuah bandar yang amat saya gemari dan pasti akan saya kunjungi setiap kali menjejakkan kaki di negara itu.
Saya senang setiap kali berada di Indonesia, negara yang memiliki ribuan pulau, kepelbagaian spesies flora dan fauna, serta adat dan budaya yang terhasil daripada lebih 1,300 suku kaum.
Yang paling menonjol bagi saya ialah adab masyarakatnya yang peramah, budaya yang pelbagai, serta kecantikan para pempengaruh yang entah bagaimana menambat hati jejaka ini.
Walaupun saya tidak sekerap orang lain mengunjungi negara yang berpenduduk lebih 200 juta jiwa itu, kenangan indah di sana masih segar dalam ingatan.
Malah, ia bagaikan satu kewajipan bagi saya untuk melawat Indonesia saban tahun.
Dari kesesakan lalu lintas yang tidak masuk akal, sehinggalah perbualan bersama orang ramai di kaki lima ketika menikmati bubur ayam sewaktu sarapan, semuanya adalah kenangan yang akan saya bawa hingga bila-bila.
Penulisan kali ini bukan sekadar catatan perjalanan yang berkongsi lokasi menarik atau mengagung-agungkan negara luar, tetapi perkongsian tentang sejarah pembentukan sesebuah negara dan perjuangan yang semakin dipandang sepi.
Pada penghujung April lalu, saya berpeluang kembali ke Indonesia. Kali ini bukan sekadar makan angin, tetapi menjadi sebahagian daripada pasukan yang merakam dokumentari yang berkisar tentang Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Rakaman itu dijalankan di Bandung, kota yang sudah lama dekat di hati saya. Kami bermalam di situ selama tiga hari sebelum pulang semula ke Jakarta.
Bandung bagi saya bukan sekadar sebuah kota besar.
Masyarakatnya amat berbakat dalam muzik dan fesyen.
Namun, ada satu kisah sejarah yang tersimpan dan jarang diungkap. Segalanya bermula pada malam pertama kami di Bandung.
Selesai makan malam di Café Braga Permai, Jalan Braga, saya dan jurufoto Ghazali Bujang bagaikan hilang arah kerana tidak tahu apa yang hendak dilakukan selepas itu.
Ketika itu jam menunjukkan 8.30 malam.
Kami masih mundar-mandir di Jalan Braga, menikmati suasana malam di kawasan tersebut.
Tidak lama kemudian, beliau mengajak saya menaiki sebuah bas jelajah bandar yang digelar Bandros oleh masyarakat setempat.
Bas itu mengelilingi kawasan ikonik yang signifikan di Bandung seperti Gedung Sate, Alun-Alun Kota Bandung, Gedung Asia-Afrika, SMA 20, Taman Lalu Lintas dan Bancuey. Saya tidak pasti berapa harga tiket pada ketika itu.
Namun, perjalanan mengelilingi kota mengambil masa sekitar 40 minit sambil ditemani pemandu pelancong yang menerangkan sejarah bangunan, kisah lampau setiap jalan yang dilalui, serta ragam kehidupan masyarakat Bandung yang penuh warna.
Sepanjang perjalanan, sudah tentu timbul pelbagai persoalan dalam fikiran saya kerana saya tidak begitu memahami sejarah Indonesia, apatah lagi sejarah khususnya kota Bandung.
Namun, satu perkara yang menarik perhatian saya berlaku sewaktu bas melewati Jalan Banceuy, apabila pemandu pelancong mula bercerita tentang sebuah peristiwa penting yang pernah tercatat di lokasi itu.
Beliau menceritakan bahawa Banceuy merupakan sebuah penjara yang dibangunkan oleh Hindia Belanda pada 1877.
Penjara itu terletak di Jalan Banceuy, kira-kira 500 meter ke arah barat Muzium Konferensi Asia-Afrika. Antara tahanan terkenal yang pernah dipenjarakan di situ ialah Presiden pertama Indonesia, Soekarno, yang ketika itu merupakan Ketua Umum Partai Nasional Indonesia (PNI).
Beliau ditahan bersama tiga rakan seperjuangannya, iaitu Gatot Mangkoepradja (pemimpin bahagian propaganda dan organisasi), Maskoen Soemadiredja (Setiausaha PNI), dan Soepriadinata (Bendahari PNI).
Mereka ditahan pada Disember 1929 atas tuduhan melakukan pemberontakan terhadap Belanda. Kebanyakan penumpang Bandros, khususnya golongan muda, seakan terpingga-pingga mendengar taklimat pemandu pelancong.
Seolah-olah itulah kali pertama mereka mendengar kisah tersebut, walhal mereka sendiri merupakan warga Indonesia.
Keesokan harinya, saya bersama-sama Ghazali menjejak kaki ke Monumen Penjara Banceuy untuk melihat sendiri tapak penjara yang menjadi saksi api perjuangan kemerdekaan Indonesia.
Ketibaan kami disambut oleh penyelia tapak penjara, Ahmad, dengan penuh senyuman.
Beliau mula menceritakan sejarah penubuhan Penjara Banceuy yang pernah menempatkan Soekarno.
Anak kelahiran Surabaya itu melanjutkan pengajian di Institut Teknologi Bandung (ITB) pada 1921 dalam jurusan kejuruteraan.
Pada 4 Julai 1927, bersamasama rakan seperjuangan, beliau menubuhkan PNI yang berjuang menuntut kemerdekaan penuh tanpa campur tangan kuasa luar.
Menjelang penghujung 1929, kegiatan PNI semakin mendapat perhatian rakyat, namun turut menarik amaran keras daripada pemerintah Hindia Belanda.
Ucapan, risalah dan rapat umum yang mereka anjurkan dianggap sebagai hasutan. Pada 29 Disember 1929, polis kolonial menyerbu pejabat PNI di Bandung, merampas dokumen, serta menahan Soekarno bersama Gatot Mangkupradja, Maskun Sumadiredja dan Supriadinata.
Mereka dituduh menghasut rakyat, menentang pemerintah dan merancang pemberontakan. Soekarno kemudian ditempatkan di Penjara Banceuy, di sel nombor lima yang sempit, berukuran kira-kira 2.5 meter kali 1.5 meter.
Di situlah beliau menulis teks pembelaan “Indonesia Menggugat” yang kemudiannya dibacakan di Pengadilan Landraad Bandung pada 1930.
Karya tersebut menjadi antara tulisan politik paling berpengaruh dalam sejarah Indonesia.
Kini, tapak Penjara Banceuy hanya meninggalkan sel nombor lima, tempat Soekarno dipenjarakan selama empat bulan sebelum menyambung hukuman di Penjara Sukamiskin sehingga dibebaskan pada 31 Disember 1931.
Pada 1983, tapak penjara itu dirobohkan dan dibangunkan menjadi kompleks kedai. Namun, sel nombor lima dan menara pengawal asal dikekalkan sebagai monumen sejarah.
Ia mengingatkan saya kepada lirik lagu Hidup Dibui nyanyian D’Llyod, meskipun tiada kaitan dengan pemenjaraan Soekarno dan rakan seperjuangannya.
Pun begitu, kata Ahmad, tapak sel Penjara Banceuy kekal sunyi daripada kunjungan ramai, seolah-olah sejarah penting itu tidak lagi diendahkan.
“Setiap hari, keadaan di sini sunyi sepi tanpa pengunjung.
Generasi muda mungkin sudah kurang minat terhadap sejarah,” katanya kepada saya sewaktu kami berbual.
Hal ini demikian kerana, menurutnya, generasi muda seakan-akan tidak lagi ingin mengambil pusing terhadap sejarah yang membentuk negara mereka.
Saya meninggalkan tapak bersejarah itu sambil memikirkan bagaimana kisah perjuangan di sini turut mengingatkan kita kepada jalan panjang yang ditempuh dalam membentuk negara Malaysia.
Sejarah mungkin berbeza, tetapi semangat untuk merdeka tetap sama.
Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan Indonesia yang disambut pada setiap 17 Ogos.
Kita bertemu lagi bulan hadapan dalam perjalanan kerohanian saya ke Jawa Tengah.



