J ENAYAH jalanan merujuk kepada jenayah yang berlaku di kawasan awam, iaitu tempat orang ramai bebas keluar masuk seperti jalan raya, kedai dan pusat beli-belah.
Jenayah ini melibatkan tindakan mengambil harta milik orang lain secara tidak sah.
Antara bentuknya adalah ragut, seluk saku, curi dan rompakan.
Rompakan pula biasanya disertai dengan ugutan, sama ada menggunakan senjata tajam seperti pisau atau parang atau, dalam kes tertentu, senjata api.
Walaupun setiap satu tergolong dalam kategori jenayah yang berbeza dari segi teknikal, kaedah pencegahan atau langkah berjaga-jaga bagi mengelak daripada menjadi mangsa jenayah ini lazimnya adalah serupa.
Ramai antara kita mungkin pernah melalui situasi yang membuka ruang kepada pelaku jenayah tanpa kita sedari.
Antara situasi biasa termasuk meletakkan beg tangan secara berjuntai di kerusi atau di lantai ketika makan di kedai, membiarkan telefon bimbit dan beg di atas meja berhampiran jalan, serta memegang beg yang tidak ditutup rapi ketika berada di kawasan sesak.
Dalam keadaan sibuk membelibelah, terutamanya semasa jualan murah atau musim perayaan, beg yang disangkut ke belakang juga mudah menjadi sasaran penjenayah.
Situasi lain yang berisiko termasuk melakukan urusan di mesin juruwang automatik (ATM) pada waktu sunyi, berjalan membelakangi arus trafik dengan beg di bahu, melalui lorong sunyi secara bersendirian atau berjalan sambil leka melayan telefon bimbit.
Bahkan, memakai barang kemas yang menonjol, walaupun di kawasan rumah sendiri, boleh mengundang bahaya.
Begitu juga ketika memandu; meletakkan beg di tempat duduk penumpang atau dalam bakul motosikal boleh menjadikan kita sasaran mudah untuk ragut atau kenderaan dipecah masuk.
Mungkin kita pernah berada dalam salah satu keadaan tersebut tanpa mengalami apa-apa.
Namun, jenayah hanya perlu berlaku sekali untuk meninggalkan kesan jangka panjang yang kita kesali.
Oleh itu, amat penting untuk sentiasa peka terhadap persekitaran dan memastikan barangan peribadi sentiasa dalam perhatian, terutama apabila berada di tempat awam. Jangan leka, kerana penjenayah hanya menunggu peluang



