Penyanyi dan pelakon Korea Selatan, Jeong Eun Ji bakal kembali menemui peminat di Malaysia menerusi konsert solonya, 2026 Jeong Eun Ji Solo Concert [SUMMER 1], yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 11 Oktober ini.
Konsert berkenaan merupakan sebahagian daripada siri jelajah Asia penyanyi itu yang turut melibatkan beberapa destinasi lain.
Menerusi poster rasmi yang dikongsikan di Instagram, Jeong Eun Ji, yang juga anggota kumpulan K-pop Apink, menyenaraikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pertama dalam siri jelajah tersebut.
Selepas Kuala Lumpur, jelajah berkenaan akan diteruskan ke Hong Kong pada 31 Oktober di AXA Dreamland sebelum melabuhkan tirai di Taipei pada 14 November di TICC.
Pengumuman itu nyata mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat yang tidak sabar untuk menyaksikan persembahan solo Jeong Eun Ji secara langsung.
Menerusi perkongsian di Instagram, penyanyi itu turut mengajak peminat untuk hadir dan menikmati konsert berkenaan bersama-sama.
“Kami ada konsert pada 9/12 dan 13. Datang dan berseronok,” tulisnya dalam kapsyen hantaran tersebut.
Konsert itu dijangka memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan kehebatan vokal Jeong Eun Ji selain menikmati persembahan pentasnya dalam suasana yang lebih dekat dan intim.
Jeong Eun Ji sememangnya dikenali sebagai antara penyanyi K-pop yang memiliki kemampuan vokal mantap, selain aktif membina kerjaya sebagai pelakon menerusi beberapa drama Korea.
Dalam pada itu, maklumat berkaitan penjualan tiket serta butiran lanjut mengenai konsert di Kuala Lumpur masih belum diumumkan secara rasmi.
Peminat dinasihatkan supaya mengikuti perkembangan terkini menerusi saluran rasmi Jeong Eun Ji dan pihak penganjur bagi mendapatkan maklumat mengenai harga tiket, kategori tempat duduk serta tarikh jualan.
Kehadiran Jeong Eun Ji ke Kuala Lumpur dijangka menambah kemeriahan kalendar hiburan K-pop di Malaysia, khususnya buat peminat yang sudah lama menantikan kemunculannya di pentas tempatan.
Dengan Kuala Lumpur dipilih sebagai antara destinasi jelajah Asia [SUMMER 1], peminat kini hanya menantikan pengumuman lanjut sebelum berpeluang bertemu penyanyi kesayangan mereka pada Oktober ini.



