JEPUN merupakan destinasi pelancongan luar biasa yang menggabungkan elemen tradisi dan teknologi moden, serta tidak pernah gagal memukau setiap pengunjung yang datang ke sana.
Ia juga terkenal dengan keindahan menakjubkan sepanjang tahun, seperti sakura yang mekar dengan warna menarik pada musim bunga, serta salji putih yang menutupi bumi pada musim sejuk.
Negara ini bukan sahaja kaya dengan budaya dan sejarah, tetapi juga menggabungkan ketenangan tradisional dengan suasana bandar moden yang serba maju.
Bagi pelancong yang menggemari budaya pop dan hiburan Jepun, terdapat beberapa kawasan menarik yang boleh dikunjungi, menawarkan kedai barangan eksklusif, aktiviti cosplay, dan kedai untuk otaku (peminat anime).
Sekiranya anda mencari destinasi menarik di Jepun, berikut antara lokasi yang boleh anda kunjungi.
AKIHABARA
Akihabara, yang terletak di tengah-tengah Tokyo, dikenali sebagai ‘Bandar Elektrik’ kerana pada asalnya merupakan pusat jualan barangan elektronik.
Namun, sejak 1990-an, bandar ini berkembang menjadi sebuah pusat budaya anime, permainan video dan cosplay yang paling terkenal bukan sahaja di Jepun, tetapi di seluruh dunia.
Di Akihabara, terdapat salah satu kedai anime terbesar di Jepun iaitu ‘Animate Akihabara’ yang menjual barangan rasmi seperti figura, rantai kunci, poster, cakera video digital (DVD), dan novel ringan.
Selain itu, terdapat juga Gamers Akihabara, iaitu kedai tujuh tingkat yang penuh dengan barangan anime dan permainan video terkini.
Kedai-kedai yang dipenuhi barangan unik untuk otaku dan peminat budaya pop Jepun menjadikan tempat ini syurga yang sempurna untuk memenuhi setiap impian mereka.
HOKKAIDO
Bagi peminat musim salji, Hokkaido merupakan salah satu destinasi yang sesuai.
Ia sebuah pulau yang terletak berhampiran rantau Kutub Utara, menjadikannya beriklim berbeza daripada wilayah lain di Jepun.
Bukan itu sahaja, ia juga terkenal dengan musim sejuk yang panjang dan salji tebal, menjadikannya destinasi utama bagi mereka yang ingin bermain ski dan papan luncur salji.
Terutamanya di Niseko, iaitu destinasi ski terkenal yang menjadi tumpuan utama pencinta sukan musim sejuk dari seluruh dunia.
Selain itu, ia turut menawarkan pemandangan menakjubkan Gunung Yotei, yang sering digelar sebagai Gunung Fuji Hokkaido.
SHIBUYA
Dalam banyak filem anime, Shibuya sering disebut sebagai salah satu destinasi paling ikonik dan terkenal di Tokyo.
Shibuya Crossing antara simbol Tokyo dan mungkin persimpangan pejalan kaki paling terkenal di dunia.
Disebabkan kesibukan bandar itu, lebih 1,000 orang melintasi persimpangan tersebut pada satu-satu masa setiap hari.
Pergerakan orang ramai di situ mencipta pemandangan yang menakjubkan, seolah-olah membawa anda ke dunia penuh tenaga dan kehidupan kota.
Bukan itu sahaja, persimpangan ini juga kerap muncul dalam filem dan video muzik, menjadikannya destinasi wajib dikunjungi pelancong ke Tokyo.
KYOTO
Selain terkenal dengan kemajuan, Jepun juga terkenal dengan sejarahnya, seperti di Kyoto yang merupakan destinasi ikonik dan kaya dengan warisan budaya, kuil-kuil bersejarah serta pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan.
Kyoto memainkan peranan penting dalam pengembangan budaya Jepun, terutamanya dalam bidang agama, seni, seni bina dan kesusasteraan.
Selain itu, Kyoto turut menarik pelancong dari seluruh dunia untuk menghayati keindahannya yang kaya dengan tradisi dan alam semula jadi.
Antara kuil yang boleh dilawati ketika di Kyoto ialah Kinkaku-ji (Golden Pavilion), Fushimi Inari Taisha, Kiyomizu-dera dan Ginkaku-ji (Silver Pavilion) yang menampilkan seni bina tradisional Jepun serta nilai budaya yang mendalam.
Selain menikmati kuil-kuil bersejarah, anda juga boleh menikmati pemandangan indah musim bunga (sakura), terutamanya di Maruyama Park dan sepanjang Philosopher’s Path.
Bukan itu sahaja, pelancong juga boleh menikmati pemandangan musim luruh (koyo), kerana kawasan ini terkenal dengan warna kemerahan daun ‘maple’ yang menjadikan taman-taman kuil lebih menakjubkan.
OSAKA
Osaka merupakan destinasi yang kaya dengan sejarah dan menjadi antara tumpuan pelancong untuk menghayati warisan budaya serta sejarah Jepun.
Antara lokasi utama yang wajib dikunjungi ialah Istana Osaka (Osaka Castle), sebuah istana bersejarah yang paling terkenal dan menjadi simbol penting bagi bandar ini serta sejarah negara Jepun.
Memandangkan Osaka terkenal sebagai ibu kota makanan Jepun, pelbagai hidangan popular di sini mencerminkan cita rasa tempatan yang unik dan menggugah selera.
Antara hidangan yang boleh dicuba termasuk takoyaki, okonomiyaki, kushikatsu dan sushi Osaka, yang masing-masing menawarkan pengalaman rasa tersendiri.
Selain menikmati sejarah dan keenakan makanan, pelancong juga boleh mengunjungi Universal Studios Japan — salah satu taman tema terbesar di Asia.
Taman ini menawarkan pelbagai tarikan serta pertunjukan yang diinspirasikan daripada filem terkenal seperti Harry Potter, Jurassic Park dan Spider-Man.



