Dalam era digital hari ini, cinta bukan lagi bermula di bangku sekolah atau melalui perkenalan keluarga semata-mata.
Ia boleh hadir melalui satu butang ‘ikut’, satu mesej ringkas di Instagram atau satu sapaan manis di Facebook dan WhatsApp.
Ramai yang menganggapnya sekadar ruang untuk berkenalan, berkongsi cerita dan mencari pasangan.
Namun, di sebalik kemudahan itu, wujud ancaman yang semakin membimbangkan, iaitu jerat percintaan atau “penipuan cinta” (love scam).
Modus operandi penipu cinta biasanya bermula dengan strategi yang kelihatan biasa.
Mereka memperkenalkan diri sebagai individu yang baik, penyayang dan memahami perasaan.
Ada yang menyamar sebagai usahawan berjaya, pegawai tentera, jurutera di luar negara, doktor misi kemanusiaan atau individu berprofil tinggi.
Profil media sosial mereka pula kelihatan meyakinkan, lengkap dengan gambar menarik, gaya hidup mewah, serta kata-kata romantik yang seolah-olah keluar daripada novel cinta.
Hakikatnya, semua itu hanyalah umpan.
Penipu memahami satu perkara penting, manusia mudah terperangkap bukan kerana lemah, tetapi kerana kesunyian, tekanan emosi, dan keinginan untuk dihargai.
Mereka memilih mangsa yang kelihatan rapuh, sedang melalui fasa sukar, atau yang sering meluahkan perasaan di media sosial.
Dalam masa yang singkat, mereka akan mencipta hubungan yang kelihatan ‘serius’.
Ada yang mengaku sudah jatuh cinta selepas beberapa hari berkenalan.
Ada juga yang berjanji mahu berkahwin, mahu datang berjumpa keluarga, malah ada yang sanggup memanggil mangsa ‘suami’ atau ‘isteri’ walaupun belum pernah bertemu.
Di sinilah perangkap bermula.
Apabila mangsa sudah benar-benar percaya, penipu akan mula mencipta situasi yang mendesak.
Mereka mungkin mendakwa menghadapi masalah kewangan secara tiba-tiba seperti akaun bank dibekukan, dompet hilang, kos rawatan hospital, tiket penerbangan, urusan kastam atau bungkusan hadiah yang kononnya tersangkut.
Ada juga yang memperkenalkan peluang pelaburan “untung besar”, termasuk pelaburan mata wang kripto atau perniagaan yang kelihatan sah.
Mereka akan memujuk dengan ayat seperti, “Saya tidak ada sesiapa lagi selain awak,” atau “Kalau awak sayangkan saya, tolong saya kali ini.”
Mangsa yang terikat secara emosi akan mula memberi sedikit demi sedikit.
Pada awalnya mungkin RM100 atau RM200, kemudian meningkat kepada ribuan ringgit.
Penipu pula akan terus menekan secara halus, menggunakan rasa bersalah sebagai senjata.
Apabila mangsa mula curiga, mereka akan bertukar menjadi marah, merajuk atau menghilang seketika supaya mangsa panik dan kembali mencari.
Keadaan ini dinamakan manipulasi emosi, dan ia sangat berkesan terhadap mereka yang benar-benar ikhlas mencintai.
Lebih menyedihkan, ada mangsa yang bukan sahaja kehilangan wang, malah kehilangan maruah dan ketenangan diri.
Ada yang terpedaya menghantar gambar peribadi atau maklumat sensitif, lalu diugut untuk disebarkan jika tidak membayar.
Ada juga yang sanggup membuat pinjaman peribadi, menggadaikan barang kemas, malah meminjam daripada ahli keluarga kerana percaya ‘pasangan’ mereka akan membayar semula.
Apabila kebenaran terbongkar, ramai yang menanggung trauma, kemurungan dan rasa malu yang mendalam.
Namun, kita harus sedar mangsa penipuan bukan bodoh.
Mereka hanyalah manusia biasa yang sedang mencari kasih sayang dan perhatian.
Penipu pula sangat licik dan berpengalaman.
Mereka tahu kata-kata apa yang patut digunakan, bila perlu memberi harapan dan bila perlu menekan.
Mereka juga sering beroperasi dalam rangkaian, bukan bersendirian.
Sebab itu, mangsa sukar menyedari mereka sedang diperdaya.
Jadi, apakah tanda-tanda awal yang perlu diberi perhatian?
Pertama, individu itu terlalu cepat menunjukkan komitmen dan menggunakan kata-kata romantik secara berlebihan.
Kedua, mereka mengelak daripada panggilan video atau memberi alasan setiap kali diminta bertemu.
Ketiga, mereka sering menceritakan kisah sedih yang ‘kebetulan’ memerlukan bantuan kewangan. Keempat, mereka meminta wang, tambah nilai, kod TAC atau maklumat bank.
Kelima, mereka cuba mengasingkan mangsa daripada keluarga dan rakan dengan berkata, “Orang lain tidak faham kita.”
Jika anda atau orang sekeliling mula mengalami situasi seperti ini, langkah terbaik ialah berhenti memberi wang, simpan bukti perbualan dan segera dapatkan bantuan.
Berbincanglah dengan ahli keluarga atau rakan yang dipercayai.
Laporan juga boleh dibuat kepada pihak berkuasa atau platform media sosial agar akaun penipu disekat.
Lebih cepat tindakan diambil, lebih tinggi peluang untuk mengurangkan kerugian.
Akhirnya, cinta yang sihat tidak pernah memaksa, tidak meminta-minta dan tidak menjadikan wang sebagai bukti kasih sayang.
Cinta yang benar memberikan rasa selamat, bukan rasa takut.
Ia membina kepercayaan melalui masa, bukan melalui janji manis yang tergesa-gesa.
Dalam dunia yang semakin moden, kita perlu bijak membezakan antara ‘sayang’ yang tulus dengan ‘sayang’ yang penuh helah.
Kerana kadangkadang, jerat percintaan bukan sekadar meragut wang, tetapi juga meragut keyakinan diri, maruah, dan masa depan.
Berhati-hatilah. Jangan biarkan hati yang ikhlas menjadi tiket untuk orang lain memperdaya anda.


