SAYA masih tidak faham tindakan warga maya yang menyokong keputusan seorang remaja untuk meragut nyawa sendiri dengan terjun dari tingkat tiga kedai di MJC, Batu Kawa, Kuching, Isnin lalu.

Mangsa, 16, ditemukan adik lelakinya terbaring dan berlumuran darah di atas jalan ketika pulang ke rumah sewa mereka selepas keluar makan bersama-sama ibunya.

Apakah yang menyebabkan 69 peratus daripada rakan akaun media sosial Instagram remaja itu menyokong keinginannya untuk membunuh diri?

Mangsa juga membuat catatan di Facebook: “Wanna Quit Life I’m Tired”.  Remaja itu sudah bosan dengan hidup, dan tidak mahu hidup lagi.

Remaja terbabit dipercayai tertekan selepas bapa tirinya, yang rapat dengannya berkahwin dengan wanita Vietnam di Singapura dan jarang-jarang pulang ke rumah mereka.

Bukankah ini petanda jelas bahawa remaja itu bermasalah dan perlukan bantuan dan sokongan moral?

Ya, apakah yang menggerakkan sesetengah netizen merestui atau menggalakkan mangsa supaya membunuh diri dengan mengundi ‘mati’ daripada ‘hidup’?

Adakah untuk seronok-seronok atau main-main? Apakah yang bermain di dalam kepala netizen berkenaan ketika memilih untuk mengundi supaya remaja itu buat keputusan membunuh diri?

700 Juta Pengguna Instagram

Dengan pengguna Instagram berjumlah 700 juta di seluruh dunia, ia hampir menewaskan Facebook sebagai media sosial paling popular.

Seiring dengan itu, ada pertanyaan, adakah Instagram membawa lebih banyak kesan negatif berbanding positif?

Kajian mendapati, 46 peratus menyatakan media sosial seperti Instagram memberi peluang kepada warga maya menyatakan sesuatu isu yang dianggap penting bagi mereka.

Namun, hakikat bahawa Instagram juga memberi kesan negatif terhadap kesihatan mental remaja tidak dapat dipertikaikan.

Imej yang dipaparkan seseorang melalui Instagram sering tidak realistik dan berlawanan dengan realiti.

Usaha mengherotkan gambar untuk disesuaikan dengan realiti yang dicipta atau dibikin bertentangan dengan realiti sebenarnya, termasuk dari segi wajah dan bentuk badan.

Kesudahannya, ada remaja yang begitu tertekan, mengalami depresi dahsyat dan mahu mencabut nyawa sendiri.

Zaman remaja merupakan tempoh peralihan antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa, malah ada ahli psikologi menyifatkan zaman remaja sebagai zaman gelora.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, pada tahun ini, sejumlah 1.53 juta orang dijangka membunuh diri di seluruh dunia.

Di Amerika Syarikat terdapat 30,000 kes bunuh diri setiap tahun manakala di Jepun pula sekitar 24,000.

Terdapat bukti jelas, sebahagian puncanya ialah media sosial yang mengubah kehidupan, terutama dalam kalangan remaja.

Mangsa Buli Siber

Bunuh diri punca kematian ketiga teratas bagi mereka yang berusia antara 10 hingga 24 tahun di dunia.

Kajian mendapati lebih daripada 150,000 mereka yang berusia kurang daripada 25 tahun, mendapati mangsa buli siber cenderung membinasakan diri atau membunuh diri.

Sesungguhnya, remaja di Kuching itu mungkin masih hidup jika netizen tidak menggalakkannya melakukan perkara tersebut.

Adakah selepas remaja itu membunuh diri, kini netizen yang menyokong berasa gembira, puas hati dan boleh berpesta ria?

Atau mungkin di dalam hati mereka berkata, persetankan itu semua, ia bukan hal dan urusan saya dan keluarga saya.

Alangkah jelek dan busuk hatinya remaja yang sepatutnya menggunakan akal untuk melakukan sesuatu yang baik dan bukan yang mendorong kepada kebijaksanaan.

Atau adakah kini mereka dihantui rasa bersalah siang dan malam kerana mendorong remaja itu membunuh diri? Tidakkah mereka rasa berdosa? Tindakan seseorang mahu bunuh diri atas alasan apa-apa pun, bukan soal main-main dan dapat dijadikan bahan ketawa. Mereka ini berdepan situasi kemurungan atau depresi yang dahsyat dan memerlukan bantuan segera.

Mereka bukannya tidak waras, tetapi disebabkan tekanan emosi melampau dan kecelaruan fikiran, maka mereka mengambil keputusan nekad.

Ya, bagi orang normal termasuk netizen, tindakan itu mungkin tidak masuk akal. Tetapi siapa yang lebih tidak waras?

Adakah remaja yang terjun itu atau remaja normal yang memberi galakan dan undi supaya remaja itu membunuh diri?

Remaja berkenaan jelas amat perlukan bantuan profesional dan bukan ejekan, kritikan atau sendaan. Juga, bukan dorongan supaya berbuat sesuatu yang dapat membinasakan termasuk membunuh diri.

Akal Sihat Dan Kemanusiaan

Ke mana hilangnya akal sihat dan kemanusiaan netizen sehingga sanggup melihat remaja itu melakukan sesuatu yang tidak harus dilakukan?

Setidak-tidaknya anda beri galakan, sokongan dan nasihat agar remaja itu tidak mudah menyerah kalah dalam hidup.

Bunuh diri bukan jalan terakhir dalam kehidupan apabila berdepan dilema dan masalah. Bayangkan, jika ia terjadi kepada adik atau kakak atau saudara-mara anda sendiri.

Dan, netizen menggalak adik atau saudara anda supaya mengambil jalan singkat, dengan membunuh diri? Bagaimana reaksi dan perasaan anda? Ya, mudah cakap, letakkan diri anda dalam kedudukan keluarga remaja berkenaan.

Anda perlu akui anda juga bersalah. Kejadian ini mengingatkan saya kepada kes di Amerika Syarikat.

Anda yang menyuruh orang lain untuk membunuh diri sebenarnya boleh dikatakan bersubahat.

Anda bersalah di bawah undang-undang. Michelle Carter didapati bersalah atas dakwaan membunuh teman lelakinya tanpa niat kerana menggalak mangsa mengambil nyawanya.

Seorang peguam terkenal di negara ini berkata, memandangkan cubaan membunuh diri satu kesalahan di negara ini, pihak yang membantu seseorang membunuh diri juga tidak harus dilepaskan.

Diharap kejadian seumpama ini tidak berulang lagi pada masa depan.

Biarlah kes ini menjadi pengajaran dan membuka mata remaja serta netizen agar bertindak bijak dan menggunakan kewarasan apabila menggunakan media sosial.

 

• Profesor Madya Dr Jeniri Amir ialah pensyarah dan penganali-sis politik di Universiti Malaysia Sarawak.