LUNDU: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) mengalu-alukan mana-mana individu yang berminat, prihatin, rela hati dan tidak mengharapkan balasan untuk menjadi Sukarelawan JKMS.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, ia susulan masih ramai lagi golongan kurang bernasib baik dan memerlukan masih belum dibantu terutama di kawasan sukar dijangkau kerana tiada maklumat serta sukar hadir ke pejabat untuk memohon bantuan.
“Sebagai contoh, dengan keluasan Daerah Lundu sehingga Sematan yang sangat luas, dua orang pegawai kami tidak akan mampu untuk menyampaikan perkhidmatan secara menyeluruh.
“Maka, peranan pihak sukarelawan, ketua masyarakat dan agensi lain turut diharapkan dalam menyampaikan perkhidmatan JKMS seperti pencarian lebih ramai golongan yang memerlukan bantuan bulanan kebajikan.
“Ini kerana mereka merupakan tunjang utama komuniti setempat dalam membantu orang kampung yang memerlukan. Mereka lebih dekat dan kenal serta boleh merujuk terus kepada JKMS kes-kes yang boleh dibantu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus pada Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri di Mahligai Gading, Lundu, hari ini.
Tegasnya, pelbagai bentuk bantuan diperlukan daripada sukarelawan dan pihak lain bagi memberi sumbangan bukan sahaja tenaga kerja dan wang ringgit, tetapi tampil menghulurkan bantuan seperti perkhidmatan sokongan sosial, bimbingan dan kaunseling.
“Pihak kita juga akan terus melaksanakan program jangkauan agar penyampaian perkhidmatan kebajikan menyeluruh dan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan ini,” ujarnya.
Dalam pada itu ujarnya, para penerima bantuan kebajikan serta ahli isi rumah, bekas penghuni institusi kebajikan dan bekas pelatih Perintah Khidmat Masyarakat JKMS adalah dialu-alukan untuk memohon bantuan Geran Pelancaran berjumlah sehingga RM5,000 bagi menjalankan perniagaan kecil-kecilan.
“Bagi tahun ini, PKMB Kuching termasuk Bau dan Lundu telah mempunyai sasaran iaitu 50 klien untuk dibantu dan diluluskan geran ini.
“Justeru, saya merayu lebih ramai klien JKMS yang produktif dan mampu bekerja untuk memohon geran supaya tidak terlepas peluang untuk mengubah hidup, tidak hanya bergantung sepenuhnya dengan bantuan bulanan kebajikan,” katanya lagi.
Mengenai Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri itu, Fatimah berkata pihaknya menyediakan peruntukan berjumlah RM1,662,400 untuk diagihkan kepada 16,624 penerima di seluruh negeri.
Manakala pada majlis yang berlangsung di Lundu , setiap penerima mendapatkan bantuan wang tunai RM100 dan hamper sumbangan Petronas bernilai RM250.







