KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menafikan dakwaan kelewatan dalam pemberian rawatan pakar perubatan kardiologi kepada seorang pesakit di Pusat Jantung Sarawak (PJS) yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Menurut kenyataan JKNS, siasatan awal mendapati pesakit tersebut dirujuk oleh sebuah hospital swasta untuk rawatan lanjut di PJS pada 28 Mac lalu.
“Pesakit tiba di Jabatan Kecemasan PJS sekitar 1 pagi pada 29 Mac, dan segera diperiksa oleh pegawai perubatan kecemasan pada 1.10 pagi.
“Kes tersebut kemudiannya dirujuk kepada Pegawai Perubatan Kardiologi, ketika itu sedang merawat pesakit lain dalam keadaan kritikal,” kata kenyataan itu hari ini.
Setelah berbincang dengan Pakar Perubatan Kardiologi bertugas secara panggilan, pesakit dimasukkan ke wad khas pada 4.33 pagi.
Pada 9.30 pagi, pesakit sekali lagi diperiksa oleh Pakar Perubatan Kardiologi bersama-sama Pegawai Perubatan Kardiologi dan pasukan jururawat semasa rondaan pagi rutin di wad.
“Pihak JKN Sarawak juga menegaskan bahawa dakwaan tiada Pakar Perubatan Kardiologi bertugas sepanjang cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri dan pesakit hanya diperiksa selepas penularan ciapan di media sosial adalah tidak benar.
“Orang ramai diingatkan agar mendapatkan maklumat sahih dari sumber rasmi sebelum menyebarkan isu yang boleh mengelirukan masyarakat,” tambah kenyataan tersebut.
JKN Sarawak komited untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti, cekap dan berteraskan keselamatan serta kesejahteraan pesakit pada setiap masa.






