PENYANYI hip hop terkenal, Joe Flizzow, 46, sekali lagi mencatat sejarah peribadi apabila menerima pengiktirafan sebagai Ikon Belia Johor (Penggiat Seni) sempena Anugerah Sukan Johor Ke-31 (ASJ31).
Joe, atau nama sebenarnya Johan Ishak, menerima penghormatan tersebut pada majlis pelantikan Ikon Belia Johor sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangannya dalam dunia seni, budaya dan pembangunan anak muda.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja penghormatan buat saya secara peribadi, tetapi juga untuk seluruh anak muda Johor yang berani bermimpi dan berusaha mencapai kejayaan dalam apa jua bidang,” katanya.
Pengiktirafan ini menambah lagi deretan kejayaan penyanyi lagu Havoc itu yang bukan sahaja dikenali sebagai ikon seni, tetapi juga seorang pemimpin industri dan usahawan berjaya.
Melalui karya muzik, perniagaan serta platform pembangunan bakat, Joe terus membuktikan bahawa seni mampu menjadi wahana perubahan positif dalam masyarakat.
Penganugerahan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Joe sebagai salah seorang figura paling berpengaruh dalam dunia seni dan belia, bukan sahaja di Johor malah di peringkat antarabangsa.
Selain mengukir nama sebagai anak seni, Joe juga diberikan mandat besar dalam kepimpinan industri apabila dilantik sebagai pengarah urusan Def Jam Recordings Southeast Asia, sebuah label hip hop yang berprestij di dunia.



