BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming komited membantu Persatuan Ping Pong Bintulu mencari penyelesaian terhadap isu kekurangan ruang latihan yang semakin meruncing susulan peningkatan jumlah pelatih aktif di bahagian itu.

Beliau memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan pihak persatuan serta membantu menghubungkan mereka dengan agensi dan pihak berkaitan bagi memperkasa kemudahan latihan secara berperingkat.
Menurutnya, Persatuan Ping Pong Bintulu kini mempunyai lebih 130 pelatih aktif, namun kemudahan latihan sedia ada tidak lagi mampu menampung pertambahan penyertaan selain mengehadkan penganjuran kejohanan berskala besar.
“Baru-baru ini saya berpeluang bertemu dan berbincang dengan pihak persatuan mengenai perkembangan serta perancangan masa depan mereka. Saya dimaklumkan bahawa persatuan kini mempunyai lebih 130 pemain yang menjalani latihan secara tetap.
“Saya memahami cabaran yang dihadapi oleh persatuan terutama dari segi kemudahan latihan. Kita akan terus berusaha mencari ruang dan peluang untuk membantu supaya para pemain dapat menjalani latihan dalam persekitaran yang lebih kondusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Kejohanan Ping Pong Infinite Bintulu 2026 dan majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pemain MSSS 2026 di sini, pada Sabtu.
Menurut Johnny Pang, antara cadangan yang dikemukakan ialah mewujudkan sebuah pusat latihan ping pong khusus di Bintulu dengan memanfaatkan premis yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan latihan, pembangunan atlet dan penganjuran pertandingan.
Katanya, kemudahan yang lebih lengkap bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti latihan, malah mampu menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai pemain berpotensi mewakili Bintulu dan Sarawak pada masa hadapan.
“Saya amat menghargai komitmen Persatuan Ping Pong Bintulu yang terus konsisten membangunkan sukan ini di peringkat akar umbi serta melahirkan ramai pemain muda berbakat. Usaha seperti ini sememangnya wajar diberi sokongan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus berhubung rapat dengan persatuan berkenaan dan bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan bagi meneliti kesesuaian lokasi yang boleh dijadikan pusat latihan tetap untuk sukan tersebut.
Katanya, usaha menyediakan kemudahan yang lebih baik adalah penting bagi memastikan bakat-bakat muda tempatan dapat terus diasah dalam persekitaran yang kondusif dan kompetitif.
“Pada masa yang sama, kami akan melihat ruang untuk menyalurkan sokongan secara berperingkat melalui peruntukan kawasan bagi membantu merealisasikan perancangan ini,” katanya.
Tambahnya, pembangunan infrastruktur sukan yang mencukupi amat penting bagi memastikan golongan muda mempunyai akses kepada kemudahan latihan yang berkualiti dan selesa.
Sehubungan itu, beliau berharap usaha yang sedang dirancang dapat direalisasikan bagi menyediakan kemudahan sukan yang lebih lengkap di Bintulu, sekali gus memperkukuh ekosistem pembangunan sukan di bahagian itu.
“Inisiatif tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain ping pong sedia ada, malah mampu menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertai sukan berkenaan serta melahirkan lebih ramai atlet berpotensi pada masa depan.
“Dengan adanya kemudahan yang lebih baik, para pemain dapat menjalani latihan secara lebih teratur, menyertai pertandingan dengan lebih kerap dan mengembangkan potensi mereka ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.






