BINTULU: Mendengar sendiri suara rakyat di lapangan terus menjadi amalan ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming dalam memastikan setiap keperluan masyarakat diberi perhatian sewajarnya.
Menurut beliau, pendekatan turun padang dan berinteraksi secara langsung dengan penduduk membolehkan pelbagai isu dikenal pasti dengan lebih tepat berbanding hanya bergantung kepada laporan rasmi.


Jelasnya, suara rakyat merupakan sumber maklumat penting yang membantu pihaknya memahami cabaran sebenar dihadapi masyarakat dalam kehidupan seharian.
“Banyak isu yang dihadapi masyarakat tidak dapat digambarkan sepenuhnya melalui laporan bertulis. Sebab itu kita perlu turun padang dan bertemu sendiri dengan penduduk bagi memahami keadaan sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyantuni orang awam dan peniaga di sebuah premis makanan di kawasan ParkCity Commerce Square, di sini pada Khamis.
Dalam pertemuan tersebut, penduduk mengambil peluang menyuarakan pelbagai perkara berkaitan pembangunan komuniti dan kesejahteraan hidup yang memerlukan perhatian pihak berkaitan.
Antara isu yang dibangkitkan termasuklah keperluan menaik taraf kemudahan awam, aspek keselamatan lalu lintas, pengurusan kebersihan persekitaran serta beberapa isu pembangunan setempat.
Johnny Pang berkata setiap pandangan, cadangan dan aduan yang diterima akan direkodkan sebelum disalurkan kepada jabatan serta agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pembangunan tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek fizikal semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keperluan serta aspirasi masyarakat setempat.
Beliau turut menyifatkan sesi pertemuan seumpama ini sebagai platform terbaik untuk memperkukuh hubungan antara rakyat dengan pemimpin selain mewujudkan komunikasi dua hala yang lebih berkesan.



