KUALA LUMPUR: Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar tewas kepada petarung Lubnan, Ramadan Ondash menerusi keputusan split decision pada aksi ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, semalam.
Muhammad Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo terpaksa akur selepas mengharungi pertarungan sengit selama tiga pusingan, dengan Ramadan meningkatkan tekanan menerusi siri serangan padu pada pusingan kedua.
Jojo bagaimanapun mempamerkan ketahanan tinggi untuk bertahan sebelum mengheret pertarungan ke pusingan penentuan. Memasuki pusingan ketiga, atlet berusia 19 tahun itu menggandakan asakan bagi memburu kemenangan.
Namun, kegagalannya menghasilkan pukulan penamat knockout (KO) menyaksikan keputusan perlawanan ditentukan menerusi penghakiman juri yang memihak kepada Ramadan.
Kekalahan itu merupakan yang kedua berturut-turut buat Jojo selepas tewas kepada wakil Jepun, Shimon Yoshinari, menerusi keputusan sebulat suara pada ONE Samurai pada April lalu seperti dilapor Bernama.






