ARTIKEL

Jom belajar peribahasa!

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PERIBAHASA menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu, bidal, pepatah.

Secara keseluruhannya, peribahasa ialah susunan kata-kata dalam bentuk kiasan dan berlapik yang mempunyai pengertian tersirat. Susunan kata-kata kiasan ini tercipta berdasarkan pengalaman kehidupan seharian masyarakat.

Oleh sebab itu, peribahasa menjadi suatu bentuk luahan sindiran dan pengajaran yang digunakan oleh nenek moyang secara kiasan dan diwarisi generasi demi generasi sejak zaman-berzaman.

Dalam pengertian lain, peribahasa ialah cabang dalam sastera rakyat atau sastera lisan yang digolongkan dalam puisi Melayu lama atau tradisional.

Sastera rakyat mempunyai beberapa ciri, antaranya sastera itu diucapkan melalui perantaraan mulut; kedua, sastera itu lahir dalam masyarakat yang belum mencapai taraf kehidupan yang maju atau belum mengenal huruf; dan ketiga, sastera rakyat menggambarkan ciri-ciri budaya satu-satu kumpulan masyarakat.

Peribahasa sangat penting dalam budaya dan bahasa semua masyarakat kerana mengandungi nasihat, nilai moral, serta pengalaman hidup yang telah dipelajari oleh masyarakat terdahulu.

Kepentingan peribahasa adalah untuk menyampaikan pengajaran dan nasihat kerana peribahasa sering mengandungi hikmah dan nasihat yang memberi panduan dalam kehidupan seharian. Kedua adalah untuk meneguhkan nilai budaya.

Dalam aspek ini, peribahasa mencerminkan nilai-nilai budaya masyarakat, seperti kesopanan, kejujuran, dan kerjasama bagi membantu generasi muda untuk mengenali dan menghargai tradisi dan budaya mereka.

Ketiga adalah untuk memperkaya bahasa, iaitu penggunaan peribahasa dapat memperkaya kosa kata dan ungkapan dalam bahasa, yang memberi variasi dalam cara berkomunikasi dan menjadikan percakapan lebih menarik dan berkesan.

Sementara keempat, peribahasa sering diambil daripada pengalaman harian masyarakat dan menggambarkan realiti kehidupan mereka seperti hubungan keluarga, alam semula jadi, atau interaksi sosial.

Contohnya, (a) adat bernegeri memagar negeri; adat berkampung memagar kampung (maksud: tidak mementingkan diri sendiri); (b) hendaklah seperti tembikar; pecah satu pecah semuanya (maksud: orang yang semuafakat, satu hati, sama hidup sama mati tiada berubah setianya). Kelima, dapat mengukuhkan hubungan sosial.

Dalam perbualan, peribahasa digunakan untuk memperjelas maksud atau menunjukkan emosi yang dapat merapatkan hubungan sesama manusia lalu dapat mencipta ikatan melalui kesamaan pemahaman dan pengalaman hidup.

Contohnya, penghulu disanjung dengan adatnya, orang alim disanjung dengan hajinya, orang muda disanjung dengan manjanya (maksud: memuji orang hendaklah dengan pujian yang sewajarnya atau sesuai).

Secara keseluruhannya, peribahasa memainkan peranan penting dalam menghubungkan masyarakat dengan nilai-nilai tradisi dan menggalakkan komunikasi yang lebih mendalam. Justeru, buku Peribahasa Bertema: Alam Terkembang Jadikan Guru ini sangat sesuai dimiliki kerana disusun secara tematik.

Lapan tema menjadi asas kehidupan manusia ditemui dalam kebanyakan peribahasa Melayu, iaitu indahnya budi; adat resam; alam keluarga; adat pemimpin; keharmonian sosial; alam jadikan guru; jika bekerja dan lumrah hidup.

Penyusunan kembali peribahasaperibahasa ini disaring daripada buku-buku peribahasa yang autentik bagi memberi suatu pengalaman baharu dan menarik kepada pembaca untuk menghayati, membandingkan dan merenung kekayaan fikiran dan keindahan bahasa Melayu dalam peribahasa kita.

Buku ini sesuai buat pelajar yang ingin mengetahui peribahasa yang jarang dibincangkan di sekolah dan dapat membantu para guru khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Untuk penulis, buku ini memberikan mereka pilihan untuk memetik peribahasa yang jarang-jarang diangkat dalam tulisan tetapi mempunyai erti yang sama dengan peribahasa yang sedia ada dan popular.

Contohnya, (a) rambut sama hitam, hati masing-masing; (b) kepala sama berbulu, hati berlain-lain; (c) lain dulang, lain sisinya, lain orang lain hatinya.

Ketiga-tiga peribahasa tersebut membawa maksud yang sama, iaitu walaupun manusia itu dilihat sama, tetapi kehendak setiap manusia itu berlainan.

Satu lagi contoh peribahasa yang mempunyai erti yang sama, (a) guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari; (b) bengkok batang, bengkoklah bayangnya, iaitu bermaksud seorang pemimpin itu harus menjadi teladan kepada pengikutnya.

Jika seseorang pemimpin itu bertingkah buruk, maka pengikutnya akan mengikut sama.

Buku ini selayaknya sesuai buat semua peringkat termasuklah pengacara, pemidato, penulis dan seumpamanya sebagai panduan dan membolehkan mereka menulis dan berkomunikasi dengan lebih berkesan di khalayak.

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi