KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) memberi jaminan bahawa semua sekolah di bawah seliaannya kini mengambil langkah pencegahan rapi bagi mengekang penularan Influenza A susulan terdapat laporan beberapa kes jangkitan di institusi pendidikan negeri ini.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, berkata pihaknya menerima laporan rasmi daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) berhubung kejadian jangkitan Influenza A yang dikesan dalam kalangan murid.
“Bagi memastikan keadaan terkawal, Kementerian Pendidikan bersama JPNS telah mengeluarkan surat peringatan pada 6 Oktober 2025 berhubung pematuhan semula Garis Panduan Pencegahan Penularan Jangkitan Influenza di institusi pendidikan,” katanya kepada Suara Sarawak.
Tambah Omar, infografik berkaitan gejala Influenza A dan amalan kebersihan diri turut diedarkan ke semua PPD dan sekolah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga pendidik serta pelajar.
Beliau berkata, pihak sekolah telah segera mengambil tindakan kawalan berpandukan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“JPNS dengan kerjasama JKNS turut mengadakan taklimat khas Influenza A kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) dan guru penyelaras 3K di PPD Kuching, Bau, Lundu dan Padawan pada 9 dan 13 Oktober lalu.
“JPNS dan JKNS juga sentiasa berkongsi maklumat mengenai murid serta sekolah yang terkesan bagi melaksanakan langkah pencegahan dan sanitasi dengan segera.
“Murid yang dijangkiti dibenarkan menjalani kuarantin di rumah mengikut tempoh yang ditetapkan oleh pihak kesihatan. Hasil pemantauan bersama, beberapa sekolah telah menjalani proses sanitasi bagi mengekang penularan lanjut, manakala pegawai kesihatan turut turun ke sekolah untuk menjalankan saringan kesihatan terhadap murid,” jelasnya.
Selain itu, kata Omar, pihak sekolah dengan kerjasama PPD dan Pejabat Kesihatan Bahagian turut mempergiat kempen kesedaran melalui poster dan infografik mengenai Influenza A di seluruh daerah.
Pegawai JPNS juga terus memantau situasi dari semasa ke semasa bagi memastikan semua warga sekolah mengambil langkah pencegahan sewajarnya.
Dalam pada itu, Omar menjelaskan bahawa penutupan sekolah hanya akan dilakukan jika perlu, bergantung kepada pertimbangan Pengarah Pendidikan Negeri atau nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Sekiranya ramai murid terkesan dan atas nasihat pihak kesihatan, sekolah boleh memohon kelulusan untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” ujarnya.
JPNS menegaskan pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan memastikan kesihatan serta keselamatan pelajar kekal menjadi keutamaan di semua institusi pendidikan negeri ini.


